JPJ tetapkan hanya wanita akan uji pemandu wanita
Mulai Mac tahun depan, calon memandu wanita untuk ujian pemanduan di jalan raya akan hanya diuji oleh pegawai penguji wanita, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Emran Kadir.
Mulai Mac tahun depan, calon memandu wanita untuk ujian pemanduan di jalan raya akan hanya diuji oleh pegawai penguji wanita, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Emran Kadir.
Beliau berkata langkah itu diambil selaras dengan dasar kerajaan yang mengamalkan konsep Islam Hadhari.
"Sebagai langkah permulaan, JPJ sudah melantik 66 anggota wanita baru yang kini menjalani latihan lima bulan di Akademi Latihan JPJ di Melaka, dan seramai 80 lagi penguji wanita akan dilantik awal tahun depan bagi membolehkan kita melaksanakan dasar itu secara berperingkat-peringkat di seluruh negara,"
katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Setia JPJ di perkarangan JPJ Negeri, di Kuala Terengganu, Emran berkata pada masa ini hanya 10 peratus daripada 400 pegawai penguji di seluruh negara terdiri daripada wanita.
Menurut laporan Bernama, Emran berkata setiap tahun hampir 800,000 calon menduduki ujian memandu di seluruh negara dan lebih separuh daripada jumlah itu terdiri daripada wanita.
Beliau berkata pengambilan anggota baru itu merupakan sebahagian daripada 2,000 kakitangan baru yang akan dilantik dalam tempoh terdekat bagi menampung bebanan tugas yang kini semakin meningkat, menerusi penstrukturan semula jabatan.
Beliau berkata pertambahan anggota tersebut nanti akan ditumpukan kepada bahagian penguatkuasaan serta serta pegawai penguji.
Emran berkata cadangan penstrukturan semua itu sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam tahun lepas dan keputusan mengenainya dijangka dapat diketahui selewat-lewatnya akhir bulan ini.
"Penstrukturan semula JPJ dibuat 12 tahun lepas iaitu pada 1996, dan dalam tempoh itu hampir setiap tahun bebanan tugas yang dihadapi kakitangan JPJ meningkat hampir 100 peratus.
"Bayangkan pada 1994 bilangan kenderaan yang ada hanya tujuh juta tetapi sehingga Jun 2006, bilangan kenderaan bertambah 15.2 juta. Malah bilangan pemandu juga meningkat dari enam juta kepada hampir 12 juta pemandu tahun ini," katanya.

