Mukhriz dakwa tindakan ketepikan Dr M makan tuan
Datuk Mukhriz Mahathir mendakwa taktik orang-orang Umno untuk menyingkir ayahnya dari parti itu telah "makan tuan" kerana sokongan kepada ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohamad semakin kuat selepas pendedahan berlakunya rasuah politik ketika pemilihan perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu, 9 September lalu.
Menurutnya, selepas anggota-anggota Umno bahagian Kubang Pasu membuat laporan kepada Lembaga Disilpin parti, semakin ramai anggota Umno menerima dan memahami pendedahan Dr Mahathir tentang berlakunya sogokan wang dan salah laku semasa pemilihan itu.
Katanya dengan adanya laporan rasmi itu, orang di luar bahagian Kubang Pasu kini tahu terdapat usaha pihak tertentu yang seolah-olah tidak mengenang jasa bapanya sehingga sanggup memastikan kekalahan ayahnya.
"Saya juga lihat usaha untuk menggagalkan tindakan ayah saya gagal, malah telah terkena pula kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 50 orang anak yatim dan fakir miskin di Masjid Kampung Rawa di Pulau Pinang.
Mukhriz mengulas tindakan lima wakil cawangan dalam Bahagian Kubang Pasu yang terlibat dalam pemilihan perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno yang membuat laporan rasmi kepada Lembaga Disiplin parti Jumaat lalu atas dakwaan berlaku sogokan wang dan salah laku pada pemilihan tersebut.
Mereka terdiri daripada wakil Umno Cawangan Kampung Lembah Arang Aminuddin Omar, Ketua Umno Cawangan Kampung Darat Ibrahim Ariffin, wakil Umno Cawangan Kampung Biak Ismail Taib, Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Darat Nor Mohammad Darus dan Setiausaha Umno Cawangan Kampung Kemunting Rozi Razak.
Beliau yang juga Exco Pemuda Umno juga menegaskan tindakan lima ahli Umno bahagian Kubang Pasu membuat laporan tentang politik wang dan penyelewengan bertujuan menyelamatkan Umno.
"Aa yang saya tahu mereka mengemukakan laporan bukan untuk mengesahkan apa yang ayah saya sebut, tetapi untuk menyelamatkan Umno daripada rasuah politik," kata beliau.
Mukhriz juga menafikan kenyataan Setiausaha Umno Bahagian Kubang Pasu Samsuddin Ahmad yang mendakwa kelima-lima pengadu itu merupakan penyokong kuatnya.
Katanya beliau tidak terlibat dalam usaha kelima-lima wakil itu mengemukakan laporan berkenaan.
Menurut laporan Bernama, Mukhriz bagaimanapun tidak menafikan mengenali kelima-lima pemimpin cawangan itu.

