Jika penurunan harga minyak mentah kebelakangann ini berterusan, kadar inflasi negara tahun depan dijangka berada di bawah 3.0 peratus, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Harga minyak mentah turun sejak kebelakangan ini dan tiada tekanan permintaan dalam ekonomi negara, kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri siri seminar yang dikendalikan oleh Pusat Antarabangsa Untuk Kepimpinan dalam Kewangan (ICLIF) di ibu negara.

Indeks harga pengguna Malaysia berkembang sebanyak 4.1 peratus pada Julai daripada 3.9 peratus pada Jun.

Menurut laporan Bernama, harga minyak mentah jatuh kepada sekitar AS$60 setong daripada tahap tinggi hampir AS$80 semasa pertengahan tahun ini.

Dalam kenyataan baru-baru ini, BNM menyatakan bahawa inflasi terus perlahan mengikut jangkaan.

"Pada tahap ini, harga minyak dunia yang sederhana, sekiranya terus bertahan, digabungkan dengan jangkaan pertumbuhan global yang sederhana, akan membendung tekanan inflasi dalam masa terdekat."

" Inflasi mungkin meningkat sedikit dalam bulan-bulan mendatang disebabkan oleh faktor musim tetapi trend menyeluruh penyusutan tekanan harga akan berterusan jika perkembangan semasa kekal," katanya.

Semasa ditanya sama ada ringgit yang lebih kukuh akan digunakan sebagai langkah untuk menangani tekanan inflasi dalam negara, Dr Zeti berkata bank pusat pelbagai instrumen yag boleh digunakan untuk tujuan itu.