Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli perniagaan disiasat polis lepas kritik timbalan menteri
Diterbitkan:  Jun 5, 2021 7:39 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

Seorang ahli perniagaan berdepan dengan siasatan polis selepas membuat kritikan terhadap Timbalan Menteri Perpaduan Negara yang juga Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker.

Terdapat tiga laporan polis berasingan yang dibuat terhadap Danny Ng, 49, oleh tiga pegawai khas Ti awal minggu ini.

Petangm tadi Ng dipanggil polis di Putrajaya untuk diambil keterangannya.

Mengulas tindakan yang diambil ke atasnya, Ng berpendapat aduan polis dibuat pegawai khas Ti itu sebagai tidak masuk akal.

“Sejak bila perbuatan mengkritik seorang timbalan menteri merupakan satu jenayah? Bagaimana dengan hak kita?

"Jika ini adalah jenayah, kenapa mereka tidak membuat laporan terhadap orang yang mengkritik perdana menteri, menteri kesihatan, menteri hal ehwal pengguna (KPDNHEP) ataupun petisyen dalam talian yang menggesa menteri perdagangan antarabangsa dan industri meletak jawatan?” katanya.

Ng bercakap pada sidang media anjuran Biro Aduan Awam DAP Kepong hari ini.

Ng menjelaskan pada 2 Jun dia bersemuka dengan Ti berhubung masalah yang dihadapi pemilik perniagaan pengebumian mayat orang bukan Islam yang tidak dibenarkan beroperasi pada awal tempoh sekatan pergerakan penuh selama dua minggu kerana belum mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Perkhidmatan pengebumian itu, katanya, tidak disenaraikan sebagai "perkhidmatan penting" ketika Majlis Keselamatan Negara mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) pada 30 Mei.

“Ketika itu, saya berasakan jika Ti menguruskan perkara ini dengan baik, ia tidak akan terjadi... kamu sebagai timbalan menteri harus bertanggungjawab dan meminta maaf atau mengundurkan diri.

"Sebab itulah saya menulis perkara itu.

"Saya hanya bertanya mengenai kecekapan MCA menjalankan tugas.

"Kemudian mereka pergi lapor kepada pihak polis. Saya bukan ahli politik. Jadi sekarang orang biasa juga tidak boleh mengkritik kerajaan?” soal Ng.

Dia menambah aduannya itu sepatutnya tidak menimbulkan masalah kerana sebelum ini seorang pemimpin Pemuda MCA, Tan Yang Pang, juga menyuarakan perkara yang sama berhubung perniagaan pengebumian.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada Ti. 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS