Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas dikritik, pemimpin MCA pertikai status ahli perniagaan dalam DAP
Diterbitkan:  Jun 6, 2021 9:54 PM
Dikemaskini: 11:39 PM

Seorang pemimpin MCA mempertikai status keanggotaan DAP seorang ahli perniagaan yang mendakwa laporan polis dibuat terhadapnya selepas mengkritik Timbalan Menteri Perpaduan Negara Ti Lian Ker.

Ti merupakan naib presiden MCA.

Semalam, ahli perniagaan Danny Ng mengadu tiga pembantu Ti membuat laporan polis terhadapnya hanya kerana dia mengkritik pengurusan Ti berhubung rumah pengebumian.

Ng berkata rumah pengebumian menghadapi kesukaran beroperasi semasa "total lockdown" kerana tidak disenaraikan sebagai "perkhidmatan penting".

Bagaimanapun, ketua biro hubungan etnik dan agama MCA Cally Ting (gambar atas) menyorot bahawa Ng gagal menyatakan statusnya sebagai ahli DAP.

"Jika dia tidak ada apa-apa untuk disembunyikan dan jika dia menganggap apa yang dia lakukan itu benar, mengapa dia memberitahu media bahawa dia hanya netizen biasa dan bukan ahli politik?

"Mengapa dia menyembunyikan latar belakang politiknya?" kata Ting.

Ng, yang disoal siasat oleh polis Putrajaya susulan laporan polis itu, mengesahkan bahawa dia adalah Setiausaha Publisiti DAP Bentong.

Namun, Ng mengatakan latar belakang politiknya tidak ada kaitan dengan isu tersebut.

 

"Tidak kira sama ada saya ahli DAP atau tidak, persoalan yang saya kemukakan mempunyai asasnya.

"Cara mereka (MCA) bertindak balas tidak adil bagi saya. Saya hanya menyatakan pandangan saya sendiri, itu tidak ada kaitan dengan keahlian saya dalam mana-mana parti," katanya kepada Malaysiakini.

Ng telah mengadu mengenai laporan polis itu semasa sidang media semalam. Ng mengatakan bahawa dia memberitahu ahli media mengenai keahliannya dalam DAP.

Ng menambah bahawa dia kini telah menetap di Kuala Lumpur dan bukan ahli politik sepenuh masa.

Dia juga mempersoalkan apakah MCA akan memeriksa latar belakang politik setiap orang yang mengkritik kerajaan.

Dia memberikan contoh petisyen yang meminta pengunduran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali yang telah mengumpulkan lebih 100,000 penandatangan.

"Apakah MCA akan memeriksa latar belakang politik semua penandatangan petisyen itu?" soalnya.

Lihat Komen
ADS