Malaysiakini
BERITA

Di hari ke-3, Agong terima menghadap Umno, MIC dan PBS

M Fakhrull Halim

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jun 2021, 8:13 pagi

Hari ini merupakan hari ketiga Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap pemimpin-pemimpin parti politik di Istana Negara.

Sejak dua hari lalu, seramai lapan pemimpin parti telah mengadap Sultan Abdullah.

Ini termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum mesyuarat kabinet, disusuli Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu - pada hari pertama.

Semalam pula, baginda menerima menghadap Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden MCA Wee Ka Siong, Pengerusi Penaja Pejuang Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan Shafie Apdal.

Untuk hari ini juga, Malaysiakini membawa laporan langsung dari pintu istana.


3.24 petang: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus dilihat keluar dari Istana Negara, setelah lebih sejam menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Dia terus meninggalkan lokasi tanpa berhenti untuk bertemu petugas media.

Dengan itu, tamat sesi pertemuan pemimpin parti politik - daripada blok kerajaan dan juga pembangkang - dengan Sultan Abdullah pada hari ini.

Maximus menjadi pemimpin ke-11 - yang menghadap Sultan Abdullah sejak tiga hari lalu.

Pada Isnin ini, Agong dijadual mengadakan pertemuan secara dalam talian dengan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Berdasarkan kenyataan pemimpin sepanjang tiga hari ini, antara isu yang dibangkitkan ialah soal menangani wabak Covid-19 dan bantuan kepada rakyat, isu ekonomi, gesaan agar darurat tidak dilanjutkan serta parlimen dibuka semula.

Maximus Ongkili

2.16 petang: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili menjadi pemimpin parti ketiga yang menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Maximus tiba di Istana Negara dengan menaiki kereta Vellfire hitam.

Ongkili dijangka pemimpin terakhir yang menghadap Agong hari ini.

PBS merupakan sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bersekutu dengan kerajaan pusat Perikatan Nasional (PN).

1.45 petang: Masuk tiga hari menunggu sejak awal pagi, para petugas media nampaknya tak perlu risau akan perut yang lapar.

Di bawah kanopi bersebelahan pintu 2 Istana Negara, ada meja disusun dengan hidangan makanan untuk mengisi perut tatkala menunggu ketibaan pemimpin-pemimpin parti politik yang menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sumbangan makanan sampai sejak pagi, difahamkan dari sebuah restoran berdekatan, parti politik dan pihak istana sendiri.

Antaranya roti, bihun goreng, nasi goreng, nasi beriyani, makanan segera McDonalds, air mineral, teh panas dan air bandung ais.

Buat masa ini, petugas media masih menunggu seorang lagi pemimpin politik yang dijangka tiba pada sebelah petang untuk menghadap Agong, setelah menerima menghadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MIC SA Vigneswaran di sebelah pagi.

1.15 tengah hari: Parti Bersatu Sabah dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, selepas Umno dan MIC.

Bagaimanapun tidak pasti sama ada parti itu akan diwakili presidennya Maximus Ongkili atau tidak, atau bila ia akan tiba.

PBS merupakan sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), di peringkat persekutuan dan negeri.

Bulan lalu timbul desas-desus parti itu akan keluar daripada gabungan itu dan menubuhkan kerajaan baru dengan Warisan, namun ia dinafikan Ongkili.

11.40 pagi: Presiden MIC SA Vigneswaran menjadi pemimpin kedua menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, dengan pertemuan hampir sejam.

Kereta Mercedez Benz putih yang dinaikinya dilihat memasuki pintu 2 Istana Negara pada jam 10.46 pagi dan dilihat keluar pada jam 11.38 pagi.

Vigneswaran dilihat terus keluar tanpa berhenti untuk bertemu media.

11 pagi: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menghadap Yang di-Pertuan Agong selama kira-kira sejam.

Menemui pemberita di luar pintu istana, Zahid berkata dia antara lain menyatakan pendirian bahawa Parlimen wajar kembali bersidang dalam pertemuan itu.

“Umno berpendirian parlimen wajar bersidang.

“Ini bagi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan dan wujud elemen semak dan imbang dalam segala aspek yang berkaitan dengan pentadbiran negara,” katanya.

Ditanya berkenaan cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran), dia berkata isu itu tidak dibincangkan dalam pertemuan tadi.

"Kita tak bincangkan soal itu...Darurat patutnya mencakupi soal (yang dikatakan boleh ditangani Mageran). Tetapi ia (darurat) digunakan untuk mencapai tujuan lain," katanya lagi.

9.54 pagi: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjadi pemimpin pertama tiba di pintu 2 Istana Negara hari ini bagi menghadap Agong.

Tiba menaiki Vellfire berwarna perak, Ahmad Zahid sempat menurunkan tingkap dan melambaikan tangan kepada petugas media yang menunggu di pintu istana.


Pada hari pertama pertemuan bersama Agong, pemimpin rata-rata memberikan jawapan umum bahawa pertemuan hanya membincangkan isu seperti Covid-19, ekonomi, dan tempoh pelaksanaan darurat.

Semalam, Mahathir dalam sidang media dalam talian selepas menghadap Sultan Abdullah, memberitahu bahawa baginda juga ada bertanya tentang tarikh sesuai melaksanakan pilihan raya umum.

Difahamkan, pemimpin-pemimpin GPS juga akan mengadakan pertemuan dengan Agong menerusi panggilan video Isnin delan (14 Jun).

GPS merupakan gabungan di Sarawak, terdiri daripada PBB, PRS, PDP, dan SUPP.

Istana Negara, atas titah Sultan Abdullah, akan menganjurkan sesi perbincangan khas raja-raja Melayu pada 16 Jun.

Perbincangan khas itu berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.