Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Vaksin: Hanya sedikit lapor kesan sampingan serius setakat ini - Adham

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) setakat ini menerima 2.4 laporan kesan advers selepas imunisasi (Adverse Event Following Immunization, Aefi) bagi setiap 1,000 dos vaksin Covid-19 yang disuntik.

Daripada laporan ini, hanya 0.09 bagi setiap 1,000 dos yang disuntik diklasifikasikan sebagai kes Aefi serius yang memerlukan rawatan lanjut atau rawatan di hospital, katanya lagi.

Sementara itu, data daripada sistem pemantauan Aefi dalam aplikasi MySejahtera menunjukkan setakat 12 Jun, aplikasi itu menerima 29.3 laporan Aefi biasa atau minor bagi setiap 1,000 dos yang disuntik.

"Kesan sampingan yang dilaporkan adalah rasa sakit di kawasan suntikan, sakit kepala, keletihan dan sebagainya, yang merupakan kesan sampingan biasa setelah menerima vaksin," katanya lagi dalam sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, hari ini.

Mengulas lanjut, Adham berkata kebanyakan kes Aefi yang memerlukan rawatan lanjut atau rawatan di hospital hanya ditempatkan di wad untuk jangka masa pendek dan dibenarkan pulang setelah pemantauan sewajarnya.

Adham turut membangkitkan bantuan khas yang diperuntukkan kerajaan terhadap mereka yang mengalami kesan sampingan serius akibat vaksin Covid-19.

Terdapat tiga jawatankuasa yang akan membuat penilaian bagi menentukan jika kesan Aefi mempunyai kaitan secara langsung dengan vaksin, sebelum pampasan diberikan.

Lihat Komen
ADS