Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usahawan kosmetik, suami ditahan polis kes pukul anak

Seorang usahawan kosmetik wanita dan suaminya ditahan polis selepas disyaki memukul anak perempuan berusia 16 tahun akibat tidak berpuas hati berkait hantaran status di aplikasi WhatsApp.

Pasangan berusia 33 tahun itu ditahan sebaik tampil menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas jam 9.40, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Nasaruddin M Nasir, berkata susulan penahanan suami isteri tersebut pihaknya merampas sebuah telefon bimbit dan sebatang kayu hoki.

Menurutnya, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan dibuat anak perempuan suspek yang mendakwa dipukul ibunya dan bapa tiri termasuk ditampar.

"Kejadian jam 4.30 petang pada Isnin lalu dikatakan berlaku di rumah mereka di Kampung Pauh, Pasir Mas. Mangsa berusia 16 tahun itu turut mendakwa hampir dipukul menggunakan kayu hoki, namun sempat melarikan diri sebelum membuat laporan polis.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala selain mendakwa turut dipukul menggunakan telefon bimbit," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Nasaruddin berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kerana pasangan suami isteri berkenaan tidak berpuas hati dengan status remaja berkenaan yang dimuat naik menerusi WhatsApp.

Katanya, mangsa dikatakan memuat naik status dalam aplikasi WhatsApp mengenai tidak puas hati terhadap ibunya yang mengungkit mengenai harta.

"Ibu remaja itu juga dikatakan memarahinya kerana tidak bekerja berikutan pulang ke rumah mertua yang terletak di Tendong, Pasir Mas.

"Semakan polis mendapati status dalam aplikasi WhatsApp yang dimuat naik oleh remaja berkenaan sudah dipadamkan," katanya.

Tambahnya, pasangan suami isteri berkenaan tampil menyerah diri malam tadi dan mengaku memukul mangsa dengan menggunakan tangan sahaja.

"Suspek juga mengakui berang dengan status remaja berkenaan. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Untuk rekod, usahawan kosmetik itu sebelum ini turut disiasat pihak berkuasa selepas videonya tular berhubung pengakuannya tidak solat serta tidak pandai mengambil air sembahyang.

Lihat Komen
ADS