Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RMK12 ambil kira pelan pemulihan negara - Tok Pa
Diterbitkan:  Jun 19, 2021 3:19 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Laporan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan mengambil kira semua faktor berhubung keadaan semasa serta pasca Covid-19 termasuk Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata setakat ini, RMK12 itu sudah hampir selesai sepenuhnya iaitu 97 peratus dan laporannya akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.

"RMK12 ini sudah pasti akan mengambil kira semua keadaan Covid-19, pasca Covid-19 dengan norma baru serta PPN dan semua ini akan ada dalam RMK-12. Insya-Allah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Program Outreach Vaksinasi di Pejabat Ahli Parlimen Jeli, di Jeli hari ini.

Mustapa berkata demikian selepas ditanya berkenaan ulasan Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (Refsa) Fakhrurrazi Rashid pada 17 Jun lepas, yang berpendapat bahawa PPN perlu dijadikan sebahagian daripada RMK-12.

Mengenai kenyataan beberapa pihak yang menyatakan PPN dilihat seakan 'separuh masak' atau tidak membawa perubahan besar untuk memulihkan negara pasca Covid-19, Mustapa berkata setiap strategi dilaksanakan kerajaan telah dibincang secara teliti.

Justeru, beliau memohon semua pihak dan rakyat agar bersabar dan memberi kerajaan sedikit masa dalam memastikan PPN berjaya mencapai matlamat yang menggariskan tiga indikator ambang utama atau 'threshold'.

"Keadaan sekarang ini memberi tekanan yang besar kepada kedudukan negara terutamanya daripada aspek kewangan dan tidak pernah berlaku dalam negara kita di mana kita menghadapi krisis kesihatan ekonomi paling teruk," tambahnya.

Pada 15 Jun lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat dan setiap fasa berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Indikator pertama ialah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian; kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala indikator ketiga adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS