Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terengganu sasar satu daerah satu masjid dijadikan PPV

Pemberian suntikan vaksin Covid-19 di masjid serta menjadikan institusi itu sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) berupaya menepis dakyah negatif yang mengaitkan vaksin sebagai agenda musuh Islam.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim berkata dengan adanya program 'outreach' di PPV masjid ia dapat memberi keyakinan dan kefahaman lebih mendalam mengenai kepentingan vaksin dalam kalangan komuniti Islam.

“Seperti kita tahu masjid sangat dekat di hati orang Islam dan sebelum ini kita berhadapan dengan masalah berhubung dakyah negatif terhadap vaksin ini antara lain dikatakan sebagai agenda musuh Islam dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan Program Outreach PPV masjid di PPV Masjid At-Taqwa Durian Burung, di Terengganu hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus dan Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Dr Zuraizi Jaafar.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata kementeriannya bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyasarkan PPV masjid di seluruh negeri berupaya mencapai 16,000 suntikan vaksin setiap sebulan.

Satu daerah satu masjid dijadikan PPV

“Kita sasarkan satu daerah akan ada satu masjid dijadikan sebagai PPV. Katakan setiap satu masjid di seluruh lapan daerah di Terengganu boleh suntik 500 orang setiap minggu, jadi dalam sebulan sebanyak 16,000 suntikan boleh dicapai,” katanya.

Ahmad Amzad berkata PPV masjid akan diperluas ke seluruh negara terutama di kawasan pedalaman yang mempunyai ramai penduduk Melayu selain akan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) lebih jelas bagi melancarkan program ‘outreach’ vaksinasi di masjid.

“Ini antara lain kerana kita tidak mahu ada misalnya tohmahan yang mendakwa hendak pergi solat di masjid tidak boleh, tetapi berkumpul (di masjid) untuk suntikan vaksin boleh pula,” katanya.

Menurut Ahmad Amzad, Masjid At-Taqwa Durian Burung adalah PPV masjid pertama di Terengganu dan di negara ini yang dikendalikan sepenuhnya oleh badan bukan kerajaan (NGO), iaitu Papisma dengan dibantu oleh JKNT.

PPV Masjid At-Taqwa Durian Burung berkenaan dikendalikan sepenuhunya oleh 60 sukarelawan terdiri daripada 30 doktor termasuk 10 doktor pakar dan untuk hari ini sahaja seramai 120 penduduk setempat menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac.

Sementara itu, Dr Nor Azimi mengingatkan rakyat negeri itu agar tidak leka menjaga SOP meskipun jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 di negeri ini turun kepada dua angka sejak minggu lepas.

Katanya, walaupun situasi Covid-19 ketika ini dalam keadaan terkawal namun penduduk masih perlu mengamalkan SOP dengan sebaiknya supaya negeri itu betul-betul bebas dari penularan jangkitan.

Bernama

Lihat Komen
ADS