Bantuan kepada orang Melayu tidak boleh dihentikan secara serta merta kerana ia boleh menimbulkan huru-hara, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dirangka khusus untuk membantu masyarakat Melayu, tetapi kaum Cina tidak menentang dasar tersebut kerana mereka juga turut mendapat manfaat.

Katanya, hanya segelintir sahaja kaum Cina yang menentang pelaksanaan DEB itu.

"Kalau Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) menentang DEB ia hanya pandangan satu kumpulan sahaja. Orang Cina lain tidak menentang DEB," katanya selepas majlis berbuka puasa anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Cawangan Kuala Lumpur di di ibu negara malam tadi.

Dr Mahathir menegaskan ketika diminta mengulas kajian Institut Kajian dan Strategik Asia (Asli) bertajuk Pengagihan Ekuiti Korporat: Arah Aliran Lalu dan Polisi Masa Depan yang mendakwa bumiputera sudah menguasai ekuiti sehingga 45 peratus dan melepasi sasaran 30 peratus di bawah DEB.

Asli adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah diasaskan oleh anaknya Mirzan pada 1993. Mirzan kini merupakan Presiden institut tersebut.

Menurut Dr Mahathir lagi, sekiranya bantuan kepada orang Melayu dihentikan ia kemungkinan boleh mengakibatkan berlakunya pertelingkahan antara kaum di Malaysia.

Katanya, ini kerana tindakan tersebut akan menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan orang Melayu kerana mereka akan terus ketinggalan.

'Kajian tidak munasabah'

Dr Mahathir berkata, apa yang diketahuinya, pegangan ekuiti korporat bumiputera hanyalah 18 hingga 19 peratus dan bukannya 45 peratus seperti yang didakwa oleh kajian Asli.

"Adakah kita boleh membuat penilaian harga satu ekar tanah di Kuala Lumpur dengan tanah sawah di kampung-kampung?

"Harga tanah di Kuala Lumpur RM1,000 sekaki persegi tetapi tanah sawah satu ekar beribu ringgit sahaja," katanya lagi.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu menyifatkan hasil kajian Asli itu bahawa kaum bumiputera menguasai ekuiti korporat sebanyak 45 peratus, sebagai tidak munasabah.

"Kalau orang Melayu menguasai 45 peratus, ini bermakna (ekuiti) mereka melebihi kaum Cina dan kaum-kaum yang lain.

"Asas apa dan kajian apa yang Asli buat itu? Tidak munasabah langsung," katanya.

Bekas Presiden Umno berkata, kerajaan memperkenalkan DEB untuk membantu orang Melayu, tetapi ramai yang mengkhianatinya sehingga "Mat Salleh berkata orang Melayu tidak pandai berniaga".

Dr Mahathir berkata, melalui DEB orang Melayu mendapat permit import (AP), lesen kontraktor kelas F dan kontrak yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi mereka.

"Tetapi orang Melayu jual AP, jual lesen kelas F dan jual kontrak. Mereka jual semua apa yang kerajaan bagi kepada dia...mereka tak buat kerja dengan betul.

Perkim: Tiada kekecohan

"Orang Melayu tidak bersungguh-sungguh sehingga Mat Saleh menggelar orang kulit sawo matang tidak reti berniaga," katanya.

Menurut Dr Mahathir berkata, orang Barat juga yang mula-mula bercakap mengenai kroni dan "kini orang kita turut memperkatakannya".

Ketika ditanya sama ada beliau akan bercakap mengenai DEB dalam perhimpunan agung Umno November ini, Dr Mahathir berkata: "Nak jadi perwakilan pun tidak dapat kerana politik wang".

Dalam pemilihan perwakilan Umno Kubang Pasu ke perhimpunan tersebut pada 9 September lalu, Dr Mahathir mendapat 227 undi di tempat kesembilan dan gagal dipilih sebagai pewakilan bahagian tersebut.

Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan ke perhimpunan agung Umno. Tujuh daripadanya dipilih dalam mesyuarat bahagian manakala enam lagi terdiri daripada pemegang jawatan utama dalam bahagian.

Mengenai kekecohan dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) sejak beliau dilantik menjadi Presiden pertubuhan itu baru-baru ini, Dr Mahathir berkata ia tidak berlaku "cuma Perkim Pulau Pinang sahaja yang membuat kecoh".

"Saya jumpa Tan Sri Taib Mahmud (bekas Presiden Perkim) dan isterinya Puan Seri Laila Taib...saya tidak buang pun," katanya.