Radzi berdoa Dr M dan Pak Lah berbaik pada Ramadan ini
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berharap sesuatu yang "baik" akan berlaku antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada bulan Ramadan yang mulia ini.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berharap sesuatu yang "baik" akan berlaku antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada bulan Ramadan yang mulia ini.
" Saya sering berdoa di bulan Ramadan yang mulia ini agar sesuatu kebaikan akan berlaku. Siapa tahu. Mungkin Tuhan akan membuka hati kedua-dua mereka (Dr Mahathir dan Datuk Seri Abdullah) untuk bersetuju berjumpa satu sama lain,"katanya.
Ditanya sama ada terdapat tanda-tanda yang menunjukkan perjumpaan seumpama itu akan diadakan, Radzi berkata beliau hanya berdoa agar perkara seumpama itu akan berlaku.
Bekas Perdana Menteri itu begitu lantang mengkritik pentadbiran Abdullah dan menentunya Khairy Jamaluddin sejak tiga bulan kebelakangan ini terutama mengenai beberapa keputusan penting berkaitan pembatalan projek jambatan bagi menggantikan Tambak Johor dan permit import kereta (AP).
Menjawab soalan lain tentang jemputan kepada Dr Mahathir untuk menghadiri perhimpunan agung Umno, Radzi yang juga Menteri Hal Ehwal Keselamatan Dalam Negeri berkata, satu jemputan akan dihantar kepada bekas Presiden Umno itu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Kami fikir kami perlu menghantarnya (surat jemputan itu) secara peribadi. Itu yang biasanya kami lakukan," katanya kepada pemberita demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya
Ditanya samaada Dr Mahathir akan dibenarkan berucap pada satu perjumpaan yang diadakan sebelum perhimpunan agung sebenar, beliau berkata perjumpaan itu adalah perjumpaan tertutup yang akan dihadiri oleh mereka yang terpilih sahaja.
Mengenai siasatan terhadap aduan politik wang yang didakwa berlaku dalam pemilihan perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu yang dibuat oleh lima anggota Umno kepada ibu pejabat parti itu baru-baru ini, Radzi berkata beliau tidak campur tangan dalam hal-ehwal lembaga disiplin parti.
Menurut laporan Bernama, Radzi berkata badan itu adalah bebas dan tidak melapor kepadanya.
"Hanya selepas selesai mereka menjalankan siasatan dan semua itu barulah mereka memberikan satu salinan laporan mereka kepada saya dalam satu sampul surat bertutup, dan, bergantung kepada nasihat oleh jawatankuasa pengurusan, saya mungkin membawanya ke majlis tertinggi Umno," katanya.
Beliau menolak andaian ramai kononnya sebagai Setiausaha Agung parti beliau tahu semua perkara.
"Saya tidak campur tangan langsung, dan mereka (lembaga disiplin) tidak berkewajipan melapor kepada saya," katanya.
Mengenai laporan jawatankuasa perhubungan Umno Kedah kecewa dengan tindakan para pengadu yang membuat laporan terus ke ibu pejabat Umno, Radzi berkata Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid sepatutnya diberitahu mengenai keputusan mereka itu.
"Beliau sepatutnya diberitahu mengenai perkara itu. Itu saja," kata Radzi yang bagaimanapun mengakui bahawa tiada apa yang dapat menghalang anggota Umno daripada melaporkan terus aduan mereka kepada lembaga disiplin parti.
Kepada satu soalan, beliau berkata beliau tidak tahu berapa lama masa yang akan diambil oleh lembaga itu untuk menyiasat perkara itu.

