Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MHC gesa k'jaan lapor perbelanjaan Covid-19 secara telus
Diterbitkan:  Jun 24, 2021 10:26 AM
Dikemaskini: 2:26 AM

Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) menggesa kerajaan membelanjakan dana awam bagi tujuan kesihatan secara telus dengan berpandukan kepada penilaian Sains dan kesihatan.

Ini selepas keputusan diambil bagi menjalankan program sanitasi awam dan pembelian ambulans yang disifatkan tidak munasabah.

"Keputusan yang tidak munasabah tanpa justifikasi yang mencukupi atau mendesak mesti dihapuskan.

"Kerajaan harus menjelaskan semua perbelanjaan awam untuk langkah-langkah kesihatan awam semasa pandemik Covid-19," kata MHC dalam satu kenyataan.

Katanya, apa yang diperlukan adalah menguruskan wabak dan sesuai dengan langkah-langkah yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"kerajaan harus melaporkan perbelanjaan awam dengan cara yang telus dan teratur.

"Mekanisme pelaporan harus merangkumi penilaian ekonomi kesihatan yang sesuai dengan kos dan manfaat daripada semua keputusan yang dibuat.

"Setiap ringgit mesti dipertanggungjawabkan, kerana ia datang dari poket rakyat," tambah MHC.

MHC juga menegaskan pentingnya keputusan kewangan dalam sektor kesihatan awam dibuat berdasarkan bukti ilmiah yang mencukupi dan boleh dipercayai.

Ini katanya penting kerana Malaysia baru-baru ini menggunakan Dana Kumpulan Wang Amanah Negara bagi tujuan itu.

"Meskipun kami percaya kepada penilaian dan keutamaan oleh pemimpin kerajaan, kami berhak melakukan semak dan imbang sebagai warga negara yang bertanggungjawab dalam demokrasi dan dalam sistem kesihatan profesional," kata MHC.

Katanya, kerajaan juga mesti secara aktif melibatkan pakar dan masyarakat awam dalam membendung wabak Covid-19.

"Ini boleh dimulakan dengan mengakui pendapat para pakar dan orang awam untuk memperbaiki tindak balas terhadap wabak berkenaan.

"Penyertaan masyarakat yang mencerminkan kepercayaan dua hala antara kerajaan dan warganya adalah kunci kepada rancangan tindak balas terhadap Covid-19 yang berjaya," kata kumpulan itu.

Lihat Komen
ADS