Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menyerahkan sumbangan bekalan makanan berupa tiga tan ayam sejuk beku untuk haiwan di Zoo Melaka di Melaka, hari ini.

MAQIS dalam satu kenyataan berkata ayam sejuk beku dari Thailand bernilai RM27,270 itu adalah hasil rampasan yang telah dilucuthakkan membabitkan kes dari Mei sehingga Jun tahun ini.

"Kesemua bekalan ayam sejuk beku itu dirampas semasa cubaan dibawa masuk dari negara jiran ke Malaysia melalui pangkalan haram di tebing Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan.

"Bekalan ini didapati tidak memiliki dokumen seperti permit import MAQIS, Sijil Kesihatan Veterinar dan Sijil Halal," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, penyerahan bekalan makanan itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I Ahmad Hamzah kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Shadan Othman.

MAQIS berkata inisiatif itu diharap dapat membantu melancarkan operasi Zoo Melaka selain menampung bekalan makanan untuk haiwan-haiwan di dalamnya.

"Pihak kita juga komited melaksanakan tanggungjawab sosial untuk membantu dan memberi sumbangan kepada pihak yang memerlukan seperti Zoo Melaka.

"Selain itu, MAQIS juga sentiasa tegas menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang negara dalam memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal di kesemua pintu masuk," menurut kenyataan itu.

- Bernama