J&E Advance Tech Sdn Bhd, syarikat swasta pertama di Negeri Sembilan mendapat kelulusan kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk membuat perolehan vaksin daripada Pharmaniaga LifeSciene Sdn Bhd, kata Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Beliau berkata syarikat tersebut menawarkan program vaksinasi, khusus kepada syarikat-syarikat perniagaan, perkilangan serta industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini, untuk mendapatkan vaksin dengan membiayai semua kos pemberian vaksin kepada pekerja masing-masing.

“Inisiatif ini dapat membantu kerajaan negeri mempercepatkan proses vaksinasi bagi penduduk di negeri ini, untuk mencapai imuniti kelompok lebih cepat,” katanya pada sidang media selepas melawat pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) mega di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, hari ini.

Beliau berkata sebagai permulaan pusat vaksinasi syarikat ini akan beroperasi di Dewan Ube, Kawasan Perindustrian Nilai 3, dan syarikat yang berminat boleh membuat pendaftaran di laman web www.nssejahtera.com.my, bermula hari ini.

Aminuddin berkata, data penerima vaksin NS-Sejahtera ini akan diselaraskan dengan MySejahtera bagi memastikan pelaporan data adalah lengkap dan tepat.

Beliau berkata, PPV Mega USIM itu beroperasi di Dewan Tuanku Canselor USIM dibuka bermula jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari, bermula dari hari ini dengan permulaan 1,500 suntikan sehari, sebelum dinaikkan menjadi kapasiti maksimum sebanyak 3,000 suntikan sehari, selepas seminggu.

Katanya dalam usaha mencapai suntikan 3,000 orang sehari, sebanyak 30 ruang suntikan akan disediakan pada satu-satu masa, dengan purata suntikan 350 hingga 400 suntikan sejam.

Aminuddin berkata, PPV Mega itu melibatkan 192 petugas, sebahagian besar petugas perubatan merupakan kakitangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, yang dilantik oleh USIM Healthcare Sdn Bhd.

Beliau berkata setakat ini seramai 158,000 penduduk di negeri ini, menerima dos pertama dan kedua serta pendaftaran vaksin kini mencapai 79.3 peratus.

Sementara itu beliau berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Tertutup Nilai, akan dibuka pada Khamis ini dengan kapasiti 1,060 pesakit Covid-19 tahap satu dan dua berisiko rendah, dengan bilangan 150 petugas barisan hadapan.

Katanya, selaras dengan pembukaan PKRC tersebut, dua PKRC di negeri ini iaitu di Politeknik Port Dickson dan Kolej Kejururawatan Kuala Pilah akan ditutup, bagi mengurangkan bilangan petugas kesihatan.

-Bernama