mk-logo
Berita
Nazri: Bukan niat betul, buka parlimen nak tumbang Muhyiddin
Diterbitkan:  Jun 28, 2021 10:37 PM
Dikemaskini: 4:17 PM

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menggesa supaya kerajaan PN diberi peluang terus mentadbir dalam usaha memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

Katanya, bukanlah niat yang betul jika ada mana-mana ahli parlimen memasang hasrat mengadakan sidang Dewan Rakyat semata-mata untuk menumbangkan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Jadi kalau parlimen ini dibuka untuk tumbang kerajaan jadi rakyat kena fikir sendirilah parti-parti yang mahu parlimen ini bersidang semata-mata nak tunjuk kerajaan ini sudah tidak ada majoriti.

"Saya rasa itu bukanlah satu niat yang betul. Makna niat nak tukar kerajaan. 

"Kalau nak tukar kerajaan, mampu ke kerajaan baru ini (menangani pandemik)," soal Nazri pada program bual bicara Segmen Sudut Pandang disiarkan portal Malaysiapost malam ini.

Nazri berkata parlimen patut bersidang penuh selama 28 hari untuk membahas tindakan demi kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, kata Nazri ahli parlimen juga boleh menggunakan kesempatan sidang parlimen ini untuk menukar kerajaan.

"Kita tidak boleh halang tu. Bila parlimen bersidang boleh berlaku itu. Apabila ordinan yang dibahas tidak diluluskan RUU bil dibahas tak lepas.

"Itu boleh digunakan untuk menunjukkan kerajaan ini tidak ada majoriti," katanya.

Pemimpin Umno itu berkata demikian ketika menjawab soalan moderator sekiranya parlimen dibuka kemungkinan besar berlaku perebutan kuasa dan dijangka Muhyiddin boleh tumbang.

Nazri menjelaskan perebutan kuasa di parlimen boleh menyebabkan berlakunya pilihan raya umum ke-15.

"Waktu kita tengah ada Covid ini nak adakan pilihan raya? Jadi terpulanglah.

"Rakyat akan fikirkan yang mana betul-betul kerajaan yang hendak membantu rakyat ataupun (jika ada) kerajaan yang baru ini adakah dia ikhlas hendak membantu rakyat," katanya.

Terdahulu, Nazri berkata walaupun rakyat kini marah terhadap permasalahan akibat pandemik namun penyelesaian terhadap Covid-19 bukanlah dengan menukar kerajaan.

"Kerajaan yang baru naik itu pun belum tentu boleh menyelesaikan masalah. Dia lagi pula, nak start all over again.

"Katalah Anwar (Ibrahim) naik, nak mula balik lagi. Itu bukan alternatif," katanya.

"Kita kena bantu kerajaan, bukan tukar kerajaan," jelasnya lagi.

Untuk rekod, Januari lalu, Nazri bersama Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub secara rasmi menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Ini menyebabkan kerajaan hilang majoriti - insiden yang diyakini oleh banyak pihak menyebabkan darurat diisytiharkan.

Sementara itu, Nazri baru-baru ini menjelaskan tindakannya menarik sokongan daripada PN kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memintanya berbuat demikian.

Pun begitu, kini Nazri menentang Zahid selepas Presiden Umno itu didakwa berusaha menjalinkan kerjasama politik dengan Anwar.

Lihat Komen
ADS