Sebuah syarikat teknologi maklumat membina laman web bagi memudahkan rakyat Malaysia memohon dan menerima bantuan sesama mereka ketika impak Covid-19 terhadap kewangan isi rumah.

Laman web dibangunkan Terato Tech yang menggunakan alamat https://kitajaga.co/ itu siap dibangunkan Jumaat lalu dan dilancarkan semalam.

Pengasas Terato Tech, Reza Razali memberitahu Malaysiakini, idea asal laman web ini diterajui oleh sekumpulan ahlinya yang amat tekun dengan berkongsi manfaat kepada rakyat di saat pandemik ini.

“Kami mengambil masa satu hari untuk melakukan percubaan laman web dan dilancarkan pada sebelah malamnya pula”, kata Reza ketika dihubungi Malaysiakini pada Selasa.

Untuk menggunakannya, pengguna perlu menekan pautan, memasukkan nama kawasan dan seterusnya boleh menekan butang perlu bantuan atau ingin bantu.

Sementara itu, rata-rata pengguna laman Twitter terharu dan memberi respon yang positif dengan berkongsi hantaran laman web tersebut agar lebih ramai cakna dengan inisiatif tersebut.

“Rasa sebak dan teruja pada masa yang sama melihat inisiatif ini. Buka laman ini, boleh minta bantuan atau tawar bantuan mengikut pin lokasi”, kata @ImranAjmain.

“Lebih mudah untuk minta dan beri bantuan. Pastikan kita cakna dengan keadaan sekeliling dan jiran kita. Moh guna dan bantu”, kata @NyahKauCorona.

Sebelum ini, seorang pelajar mereka aplikasi telefon bimbit mendukung kempen Bendera Putih bagi mengesan pihak yang memerlukan.

Lihat Komen
ADS