Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Apabila pemimpin burukkan nama kerajaan sendiri

SURAT | Isu bantahan dan 'alergik' terhadap kempen#BenderaPutih dalam kalangan pemimpin semakin menular. Semakin menular dan lebih 'dahsyat' daripada wabak Covid-19.

Rakyat bukan sahaja penat dengan ujian Tuhan atas wabak Covid-19, hilang pendapatan dan bergelut untuk hidup, tetapi juga makin penat dengan konspirasi teori pemimpin dalam saat-saat krisis kemudaratan yang tiada tanda titik noktahnya.

Kepada pemimpin, adakah kamu alergik dengan bendera putih kerana kamu sedar bahawa kamu tidak cukup kuat? Adakah kamu bantah kerana kamu sedar bahawa kedudukan kamu tidak terjamin?

Kempen bendera putih adalah untuk memudahkan rakyat meminta bantuan. Semudah-mudah itu tujuannya.

Di manakah buktinya ada konspirasi menjatuhkan kerajaan di sebalik kempen ini?

Bukankah sebagai pemimpin dengan jawatan yang setinggi-tinggi Yang Berhormat, kamu tidak patut rasa tergugat atas isu bendera putih sehingga berkata "tidak perlu kibar bendera putih"?

Adakah kamu tidak dapat tidur malam jika rakyat beramai-ramai mengibarkan bendera putih hanya atas tujuan meminta tolong? Di manakah kesalahannya untuk meminta tolong dan kibar baju sekolah anak berwarna putih?

Bendera putih adalah untuk memudahkan rakyat menolong rakyat lain yang menderita. Tidak masuk akal untuk rakyat kelaparan menghubungi setiap talian yang ada pada setiap masa. 

Tak semua talian boleh menjawab setiap panggilan. Ungkapanmu "hubungi kami sahaja untuk pertolongan" tidak jamin pertolonganmu akan sampai seperti yang dijanjikan.

Tidak mengapalah jika pemimpin tak nak tolong rakyat kerana "tak mengiktiraf bendera putih".

Biarkan sahaja rakyat tolong rakyat.

Biarkan kami kibar Bendebra putih. Kami tidak memerlukan kelulusan atau pengiktirafan untuk meminta bantuan dan mengemis.

Seorang pemimpin sepatutnya melakukan muhasabah terhadap dirinya, adakah dirinya termasuk pemimpin yang baik atau tidak, iaitu dengan melihat apa tanggapan rakyat terhadap kepimpinannya.

Sama ada rakyat banyak mengecamnya, memprotes kebijaksanaannya atau tidak. Sudahkah kamu muhasabah diri dan melihat bukti-bukti protes rakyat yang kamu tidak lagi layak bergelar pemimpin?

Seorang pemimpin juga sepatutnya tidak mendustakan janji terhadap rakyat yang mengundi dan memilihnya, dan sepatutnya turun padang untuk memberikan bantuan. 

Sudahkah kamu turun padang di saat ini ataupun kamu menunggu sehingga anak-anak terdampar kelaparan sebelum kamu turun padang?

Sebagai persiapan untuk PRU15, setiap pemimpin politik sepatutnya berkata-kata dan bersangka baik terhadap sesuatu inisiatif rakyat supaya lebih ramai orang akan mengundi dan memilihnya.

Bukankah kamu patut berkata baik dan menjaga hati rakyat untuk mendapat sokongan majoriti?

Ingatlah - kata-kata yang mencela rakyat dengan reaksi alergik bendera putih tidak membawa faedah kepada sesiapa pun. Malah, kata-katamu hari ini akan membawa padah dan memakan dirimu sendiri.

Dengan celaan, rintihan, dan kemarahan rakyat di laman media sosial terhadap ungkapan pemimpin "tidak mengiktiraf bendera putih", pemimpin sepatutnya terima hakikat bahawa tiada lagi rakyat yang akan menyanjungi dan menghormati mereka.

Pemimpin ini tidak sedar bahawa kata-katanya telah memburukkan nama bangsa Melayu dan Islam, nama parti politik, nama Dewan Rakyat, nama ahli Parlimen, nama Menteri Besar dan nama kerajaan.

Malangnya, ini bukanlah lagi isu rakyat yang menjatuhkan nama kerajaan. Ini adalah isu pemimpin yang menjatuhkan nama kerajaan sendiri.

Hilanglah undi-undi rakyat tersayang mereka bagi persiapan PRU15. Goncanglah jaminan jawatan mereka sebagai pemimpin.

Akhirnya, pemimpin sendiri yang termakan kata-kata sendiri. Pemimpin sendiri yang menguatkan lagi laungan #KerajaanGagal. Bukan rakyat.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS