Malaysiakini
SENI & HIBURAN

'Usaha, jangan malas, harap bantuan bendera putih saja'

Diterbitkan

Kempen kibar bendera putih sebagai simbolik memohon bantuan yang bermula sejak minggu lalu mendapat perhatian ramai dan kempen ini dilihat berjaya apabila terdapat ramai pihak yang tampil membantu golongan memerlukan.

Walaupun kempen ini mendapat sambutan ramai, terdapat juga beberapa pihak yang tidak menggalakkan orang yang kesusahan mengharapkan bantuan melalui kempen itu.

Terbaru, ahli perniagaan kosmetik, Hasmiza Othman atau Vida memuat naik video di akaun TikToknya, @datoserividaofficial bagi menjawab pertanyaan salah seorang pengikutnya yang memohon bantuan makanan.

Video yang dimuat naik itu memaparkan dia singgah membeli di sebuah gerai kecil milik anak muda di kawasan perumahan.

Di dalam video tersebut Vida mengingatkan pentingnya berusaha dan tidak sekadar mengharapkan bantuan melalui kempen #BenderaPutih.

“Janganlah guna alasan PKP (perintah kawalan pergerakan) pendapatan terjejas nak beli lampin anak tak boleh, usaha. 

"Tengok adik ni. Usaha. Pendapatan RM200 hingga RM250 sehari, kau mampu? Janji ada keinginan, janji ada usaha dan yang pentingnya kena menu sedap dan bersih.

“Usaha, jangan malas mengharap bantuan bendera putih sahaja,” katanya.

@datoserividaofficial

Reply to @azierarizqin TIPS2. ATAS DIRI SENDIRI..NAK MAJU KENA ADA USAHA..#fyp #viral #pkp #malaysia #datoserivida

♬ original sound - QU PUTEH BARULAH PUT

 

Rata-rata pengguna di aplikasi TikTok meluahkan rasa tidak bersetuju dan memberi reaksi yang kurang senang terhadap kenyataan Vida.

“Bukan semua orang mampu. Kalau orang kaya tidak mahu membantu tidak mengapa, bendera putih ini dari rakyat kepada rakyat,” kata salah seorang pengguna TikTok di ruangan komen.

Bagaimanapun, terdapat juga netizen yang menyokong kenyataan Vida dengan mengatakan bahawa sesiapa yang terasa denga kenyataan itu harus keluar dari zon selesa dan mula berfikir cara untuk mengubah nasib mereka.

“Jangan salah faham semua, suka kata-kata Datuk ni, dia cakap kita kena usaha,” ujar salah seorang netizen yang lain. 

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.