Surat tanpa logo dan nama yang dikatakan mewakili ahli-ahli parlimen BN bagi menyatakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri, adalah tidak dapat disahkan, kata Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir.

Katanya, setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas surat yang tersebar sejak semalam itu, sedangkan pejabatnya hanya bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan rasmi yang diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara ini memandangkan kesahihan surat tersebut tidak dapat disahkan dan tiada pihak yang tampil untuk mengaku bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berkenaan.

“Pejabat setiausaha agung BN hanya bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan rasmi yang diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan persetujuan bersama di kalangan pimpinan utama BN.

“Amalan kesatuan dan perpaduan di kalangan ahli-ahli parlimen BN dalam menentukan sebarang keputusan bersama tetap terpelihara.

“Justeru sebarang langkah dan tindakan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu bagi tujuan menimbulkan keraguan dan perpecahan di kalangan BN amat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di portal BN Online.

Kenyataan itu turut dikongsi di Facebook rasmi BN hari ini.

Surat dipertikaikan itu muncul selepas Ahmad Zahid Hamidi, dalam kapasiti sebagai presiden Umno, menyatakan bahawa majlis kerja tertinggi (MKT) Umno memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Surat yang mengandungi kenyataan tersebut tidak mengandungi kepala surat rasmi BN, dan juga tidak mempunyai senarai penandatangan.

Meskipun FMT melaporkan surat itu disahkan oleh pembantu kepada timbalan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan disokong ahli parlimen Ketereh Annuar Musa, namun ia dipertikaikan bekas pengerusi BN merangkap ahli parlimen Pekan, Najib Razak.

Najib berkata dia tidak terlibat dengan kenyataan itu dan meminta senarai penuh nama yang dimaksudkan di dalam surat berkenaan.

Ini adalah kali kedua sejak 23 Jun di mana kenyataan yang mendakwa mewakili "semua ahli parlimen BN" muncul.

Kenyataan sebelum ini mendakwa bahawa ahli parlimen BN tidak akan menyokong undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Kenyataan sebelumnya pada mulanya dikaitkan dengan Ismail Sabri dan kemudian dikaitkan dengan semua ahli parlimen BN.