Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi amaran, pemandu yang memandu melebihi had laju, memotong garisan berkembar, memotong barisan dan tidak mematuhi lampu isyarat serta lain-lain kesalahan yang boleh membawa kepada kemalangan jalan raya sepanjang Ops Sikap XI dijalankan, akan dikenakan kompaun maksimum RM300.

Ops Sikap XI akan bermula esok sehingga 31 Oktober ini, bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ketika pulang ke kampung sempena perayaan Deepavali dan Aidilfitri yang disambut pada 21 dan 24 Okt ini.

Musa berkata, polis trafik juga tidak akan mengadakan sebarang sekatan jalan raya semasa Ops Sikap XI bagi memastikan tidak berlaku kesesakan jalan raya yang lebih teruk.

"Tiada sekatan jalan raya akan dibuat, sebaliknya kita akan tahan pemandu yang melanggar undang-undang termasuk menyaman mereka di tepi jalan sahaja. Kita nak tengok jalan raya berjalan lancar semasa musim raya ini," katanya

pada sidang media selepas melancarkan "Kempen Pandu Cermat Sampai Selamat" sempena Ops Sikap 2006 di ibunegara hari ini.

Menurutnya lagi, bagi memastikan Ops Sikap dan pengawasan jenayah setempat berjalan lancar, lebih 5,000 anggota dan pegawai polis dikerahkan bertugas semasa musim perayaan ini.

"Semua pegawai dan anggota dibekukan cuti. Saya sendiripun tidak cuti. Kita nak pastikan semuanya berjalan lancar dengan pemantauan dan penguatkuasaan di jalan raya mahupun di kawasan kediaman orang awam.

"Semua ketua polis di kawasan masing-masing juga telah diarahkan untuk meningkatkan pengawasan dan penguatkuasaan di kawasan tempat tinggal semasa ketiadaan orang ramai yang balik kampung nanti," katanya.

Musa berkata polis trafik juga akan melakukan rondaan 24 jam di lebuh raya ke semua destinasi sepanjang tempoh Ops Sikap XI berjalan.

Sementara itu menurut laporan Bernama, semasa berucapan di majlis berkenaan, Musa berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 3,784 kemalangan maut yang mengakibatkan 4,177 kematian dicatatkan di seluruh negara.

Katanya kempen kesedaran yang dilancarkan hari ini adalah sebagai langkah mendidik pengguna jalan raya supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa berada di jalan raya dan memandu secara berhemah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

"Polis cuba menempatkan seramai mungkin anggota trafik dengan dibantu oleh anggota lain di sepanjang jalan laluan utama, namun adalah tidak mungkin tugas ini dapat dibuat di semua jalan dan lokasi. Pengguna sendiri perlu membantu kita menjaga keselamatan nyawa sendiri," katanya.