mk-logo
Berita
Ismail Sabri patut hala pesanan henti politik kepada PM, PN - Saifuddin
Diterbitkan:  Jul 12, 2021 8:49 AM
Dikemaskini: 12:55 AM

Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, perlu menasihati Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pimpinan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) supaya henti berpolitik, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata kerajaan PN berkuasa penuh untuk membuat dasar bagi menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi sejak darurat diisytiharkan pada Januari lalu.

Pun begitu, katanya, beberapa tindakan yang diambil kerajaan tiada kaitan dengan langkah membendung Covid-19.

"TPM berpesan usah berpolitik, tumpu lawan Covid. (Tetapi) Umno tarik sokongan (terhadap Muhyiddin) tak ada kena mengena lawan Covid.

"PM lantik Ismail jadi TPM tak ada kaitan lawan Covid. Bahkan sekelumit pun tak ada faedah kepada rakyat. Ini hanya langkah PM nak selamatkan diri bukan selamatkan rakyat.

"Pesan saya kepada TPM: halakan pesan anda kepada PM, rakan-rakan dalam PN dan seangkatan," kata Saifuddin yang juga ahli parlimen Kulim Bandar Baharu dalam satu kenyataan.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Julai lalu mengumumkan bahawa parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan menuntutnya meletakkan jawatan serta-merta. 

Umno pada masa ini mempunyai 38 ahli parlimen tetapi sebilangan besar mereka tidak bersetuju penyingkiran Muhyiddin, yang merupakan presiden Bersatu.

Beberapa jam sebelum sokongan Umno itu ditarik balik, Muhyiddin menaikkan pangkat Ismail Sabri, yang merupakan naib presiden Umno daripada menteri kanan kepada timbalan perdana menteri.

Saifuddin berkata, kerajaan PN mempunyai lebih setengah tahun untuk memerangi wabak Covid-19 dengan memiliki kuasa yang luas apabila parlimen digantung.

"Parlimen tutup. Tiada lagi semak imbang. Dalam tempoh ini kerajaan boleh buat undang-undang tanpa perlu parlimen. Kerajaan boleh berbelanja tanpa perlu parlimen.

"Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara boleh buat apa sahaja. Rakyat hanya terima," jelasnya.

Begitupun katanya, kes postif harian Covid-19 dan kematian akibat wabak itu terus meningkat.

"Ekonomi terus melemah. Rakyat hilang kerja, hilang pendapatan. Anak-anak sekolah kelam-kabut dengan PdPR. Kes bunuh diri meningkat," tambahnya.

Semalam, Ismail menggesa semua pihak terutama ahli politik supaya berhenti berpolitik, sebaliknya memberi fokus kepada usaha membantu rakyat yang sedang mengalami kesusahan akibat wabak Covid-19.

"Sekarang ini fokus kita mestilah membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan dan dalam masa yang sama strategi untuk menentang Covid-19 ini perlu juga disokong oleh semua," katanya.

Lihat Komen
ADS