Isu laporan Asli: PM beri amaran, jangan sindir-sindir
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran akan bertindak ke atas mana-mana pihak yang cuba membuat "kacau" mempersoalkan ketelusan dasar-dasar kerajaan.
"Jangan menyindir. Sindir menyindir ini buat apa. Menyindir, tuduh menuduh tidak ada kebaikan. Nak minta penjelasan mintalah betul-betul. Buat apa sambil minta sambil menyindir. Buat apa sambil meminta sambil menuduh. Itu bukan cara nak cari kebaikan."
"Kalau niat nak buat kacau, tengoklah apa nak jadi. Nak tanya, tanya dengan baik," katanya kepada pemberita di Subang sekembali daripada mengerjakan umrah.
Perdana Menteri berkata kerajaan tidak mempunyai masalah untuk memberi penjelasan mengenai kaedah yang diguna pakai dalam mengukur pegangan ekuiti Bumiputera di negara ini jika perkara itu yang dipersoalkan.
Menurut laporan Bernama, turut hadir di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang untuk menyambut kepulangan Abdullah ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Abdullah diminta mengulas gesaan Parti Gerakan yang mahu Unit Perancang Ekonomi mendedahkan secara telus kaedah kajian yang merekodkan bahawa penguasaan Bumiputera dalam ekuiti ekonomi negara hanya sebanyak 18.9 peratus.
Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dilaporkan berkata ini kerana ada sesuatu yang tidak kena dengan angka itu kerana tidak menampakkan sebarang peningkatan sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1970.
Menurut Abdullah, kenyataan beliau itu tidak ditujukan kepada sesiapa tetapi satu kenyataan umum kepada semua pihak termasuk orang Melayu sekiranya cuba menimbulkan kekacauan.
Katanya jika terdapat sebarang masalah, ia perlu dibincangkan dengan baik bagi menyelesaikannya.
Sementara itu bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam pula menasihatkan semua pihak menghentikan perbahasan umum mengenai penguasaan ekuiti ekonomi negara oleh pelbagai kaum, dengan menyatakan ia boleh bertukar kepada sesuatu bersifat emosional.
Sambil menyebut Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) sebagai forum baik bagi membincangkan isu itu, Musa berkata perbincangan boleh juga diadakan menerusi langkah-langkah lain.
"Membawa faktor ini keluar dari perhatian umum adalah amat penting memandangkan mood yang tercetus kini dalam negara dengan wujud terlalu banyak pemangsa yang meninjau-ninjau untuk meragut isu yang boleh bertukar kepada sesuatu bersifat emosional.
"Dan emosi dari segi perkauman perlu ditangani dengan hati-hati. Terdapat terlalu ramai petualang politik yang sedia merebut isu dan mengeksploitasinya secara tidak rasional bagi memenuhi matlamat politik diri," katanya kepada pemberita di ibunegara.

