story image
mk-logo
Berita
Anggota keselamatan PPV di Johor dituduh buat isyarat lucah 'cucuk'

Seorang anggota keselamatan yang bertugas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Baru, semalam, dituduh membuat jenaka dan isyarat lucah terhadap seorang wanita yang datang untuk temu janji vaksinnya.

Wanita itu, Jaw Keyun, 32, berkata dia berjalan melalui pintu masuk apabila seorang lelaki yang memakai seragam "celoreng" meminta untuk melihat MySejahtera dan MyKad, sebelum dia mula menggoda.

Jaw berkata lelaki itu bercakap dalam bahasa Melayu, menggunakan kata "cucuk" untuk membuat pernyataan lucah dengan konotasi seksual.

Pada hantaran di Facebook, Jaw berkata lelaki itu mulanya menunjukkan ke arah hidung dan bertanya "pernah kena cucuk."

Jaw menyangka soalan itu mengenai ujian swab Covid-19, menjawab tidak.

Lelaki itu kemudian terus berkata," Nak saya cucuk awak ke? (Sambil dia tunjuk isyarat satu jari telunjuk dimasukkan dalam gengaman tangan satu lagi)."

Kemudian kata Jaw "orang-orang berpakaian celoreng ketawa beramai-ramai."

"Lepas tu saya jalan terus dan saya terdengar mereka cakap “rambut cantik. Macam Korean" di belakang saya," katanya di Facebook.

Jaw berkata dia kelu dan dengan cepat bergegas pergi dari situ.

"Saya tahu cucuk dalam perkataan Melayu boleh digunakan dalam berbagai ayat untuk mengungkapkan makna yang berbeza.

"Tapi saya rasa sangat tidak senang dengan 'lawak' itu," kata Jaw ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, wanita berusia 32 tahun itu menambah dia terlambat untuk temu janji vaksinnya sekitar jam 1 tengah hari semalam dan dalam keadaan terburu-buru.

Ini jelasnya menyebabkan dia tidak dapat mengenal pasti tanda nama atau nombor lencana anggota keselamatan terbabit.

Setelah masuk ke dalam dewan, Jaw berkata proses vaksinasi berjalan lancar dengan

tahap profesionalisme yang tinggi dari semua pihak yang terlibat termasuk pegawai kesihatan dan jururawat.

Ketika dalam perjalanan pulang bersama suaminya, Jaw berkata dia telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu di balai polis daerah Batu Pahat untuk mengelakkan lebih banyak wanita menjadi mangsa.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Ismail Dollah mengesahkan menerima laporan itu, untuk disiasat oleh polis Johor Bahru Selatan, kawasan didakwa kesalahan itu berlaku.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Mohd Padzli Mohd Zain pula memaklumkan kepada Malaysiakini permintaan perintah untuk menyiasat telah dikemukakan kepada pihak pendakwaan negeri dan sedang menunggu kelulusan.

[Baca berita asal]

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS