Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ribut di Tanjung Sedili bagai tsunami kecil, kata mangsa
Diterbitkan:  Jul 24, 2021 2:14 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Penduduk menyifatkan ribut yang melanda Tanjung Sedili, di Kota Tinggi petang semalam seperti ‘tsunami kecil’ dan yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh 30 tahun.

Hujan lebat lebih dua jam bermula kira-kira 3 petang, disusuli ribut dan angin kencang, menyebabkan 291 rumah dan beberapa bangunan kerajaan mengalami kerosakan dan lebih 20 pokok tumbang.

Seorang penduduk Rosli Gumri, 57, berkata ketika kejadian hanya anaknya Mohd Fahrin Rosli, 11, serta cucunya Adam, 9, tinggal di kedai runcitnya sementara isterinya keluar membeli barang.

"Hujan dengan ribut yang dahsyat bagi saya, walaupun selalu berlaku angin kencang di kawasan ini tapi semalam itu luar biasa.

"Berlaku dengan pantas, angin kencang yang menerbangkan bumbung dan atap rumah orang...seolah-olah malapetaka seperti tsunami," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kedainya berdekatan Pekan Sedili, hari ini.

Sementara itu, Mohd Fahrin masih terkejut dengan kejadian ribut semalam dan tidak percaya melaluinya sendiri bersama anak buahnya.

"Apabila saya dengar bunyi kuat macam bunyi pokok (tumbang) , saya terus bawa Adam duduk bawah meja untuk berlindung. Ketakutan saya apabila dengar bunyinya (kuat sangat) macam nak akhir zaman," katanya yang hanya beredar dan mencari perlindungan di rumah datuknya selepas keadaan reda kira-kira 30 minit selepas itu.

Seorang pekerja am Shazrul Faiza Mat Noor, 33, dia bersyukur kesemua tujuh ahli keluarga bersamanya ketika kejadian selamat meskipun kereta Myvi miliknya rosak teruk akibat ditimpa pokok kelapa.

Dia yang sudah biasa dengan keadaan hujan lebat dan angin kuat kerana duduk di kawasan pantai tidak menyangka keadaan seteruk itu.

"Tiba-tiba kita dengar bunyi angin macam berpusing, macam bunyi bersiul pun ada, tengok pokok dah macam joran, melengkung-lengkung.

"Tak lama lepas tu, pokok tumbang di atas kereta saya. Kami terus laung azan apabila berlaku. 

"Apabila dah reda sikit, tengok rumah jiran-jiran ada yang tercabut bumbung, pokok tumbang di bumbung," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS