Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC mahu prosiding dengan menteri kesihatan, KP Kesihatan diteruskan
Diterbitkan:  Aug 1, 2021 8:36 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) bertegas untuk menyoal siasat Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah esok.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh mendedahkan bahawa Noor Hisham telah menulis surat kepada setiausaha Dewan Rakyat yang menasihatkan agar prosiding ditangguhkan susulan kes Covid-19 di parlimen.

Dia menambah bahawa setiausaha Dewan Rakyat dalam satu surat, telah menyampaikan cadangan untuk menangguhkan pendengaran itu sekitar jam 3.30 petang hari ini.

"Tanggapan pertama saya kepada setiausaha Dewan - ini tidak masuk akal.

"Saya telah mengarahkan setiausaha Dewan untuk memberitahu Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan bahawa prosiding kami akan tetap berjalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong berkata dengan persidangan parlimen khas yang kini telah ditangguhkan, hanya akan ada kurang daripada 30 orang yang terlibat dengan pendengaran PAC.

"Saya percaya Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan mengetahui dan memahami perkara ini dengan baik dan faham cara apa dia akan melaksanakan tugasnya kepada negara," katanya.

Prosiding dijadualkan esok pada pukul 10.30 pagi.

Panel tersebut diharapkan dapat mempersoalkan mengenai perolehan vaksin Covid-19.

Khamis lalu, parlimen ditutup susulan laporan kes Covid-19.

Semua orang yang berada di parlimen diwajibkan mengambil ujian. Sebanyak 11 kes positif dikesan.

Ahli parlimen pembangkang menuduh kerajaan menggunakan kes-kes itu sebagai helah untuk menggantung parlimen di tengah-tengah krisis perlembagaan.

Ini selepas kerajaan dilihat berselisih dengan Yang di-Pertuan Agong setelah menolak permintaan baginda agar ordinan darurat dibahaskan di Parlimen.

Sebaliknya, kerajaan membatalkan ordinan darurat tanpa perkenan Agong.

Semalam, perdana menteri menangguhkan hari terakhir persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan esok, dengan alasan kes Covid-19 di Parlimen.

Ahli parlimen pembangkang yang membantah keputusan itu menegaskan bahawa mereka masih merancang untuk hadir di parlimen esok.

Lihat Komen
ADS