Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis panggil peguam, petugas media berkaitan dua perhimpunan
Diterbitkan:  Aug 6, 2021 11:04 PM
Dikemaskini: 3:04 PM

Polis telah memanggil sekurang-kurangnya seorang peguam dan lebih 20 petugas media untuk membantu siasatan berhubung dua perhimpunan besar baru-baru ini.

Badan Peguam Malaysia mengesahkan polis telah menyoal siasat seorang anggota pasukan pemantau Majlis Peguam ketika demonstrasi #Lawan pada Sabtu lalu yang menyaksikan ratusan peserta di Kuala Lumpur menuntut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Sementara itu, akhbar berbahasa Cina, Sin-Chew Daily melaporkan lebih 20 petugas media dalam talian dan media cetak dipanggil berkaitan perarakan lebih 100 wakil rakyat pembangkang ke parlimen Isnin lalu.

Malaysiakini difahamkan polis telah menghubungi petugas media terbabit untuk hadir ke Ibu Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, dan Balai Polis Sentul untuk mengesahkan laporan berita mereka dan sebagai saksi kejadian.

Kenyataan mereka dirakam berdasarkan senarai anggota parlimen yang telah dikenal pasti di tempat kejadian.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani sebelum ini berkata polis telah menerima 206 laporan berhubung perhimpunan anggota parlimen berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Badan Peguam Malaysia, AG Kalidas berkata peguam Andrew Khoo disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berkaitan pemantauan yang dilakukannya dalam perhimpunan #Lawan.

Khalidas berkata Majlis Peguam telah mengarahkan pasukan pemantauannya untuk memerhati dan memantau perhimpunan awam bagi memastikan hak asasi manusia dan kebebasan asasi tidak disalahgunakan dan dilanggar oleh para peserta itu sendiri, pihak berkuasa, penganjur, atau pihak lain.

"Seperti amalan biasa Badan Peguam Malaysia, kami telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara pada 30 Julai 2021 yang memaklumkan kepadanya tentang kehadiran pasukan pemantau kami pada hari itu (protes #Lawan).

"Oleh itu Badan Peguam Malaysia sangat kecewa kerana meskipun ada makluman sebelumnya, Polis Diraja Malaysia tetap memilih untuk meminta salah seorang anggota pasukan pemantau Majlis Peguam pada hari itu, Andrew Khoo menghadirkan diri Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 5 Ogos 2021 untuk disoal siasat di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah, "kata Kalidas.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS