Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman mengesahkan dirinya positif Covid-19.

Ahmad Tarmizi ketika dihubungi berkata dia kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumahnya di Sik, Kedah.

"Saya mengalami simptom ringan, batuk dan selesema, yang lain alhamdulillah tiada apa," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Tarmizi, dia mula mengalami gejala pada 3 Ogos dan percaya telah berjangkit daripada dua pegawainya.

"1 Ogos lalu saya buat ujian RTK dan keputusannya negatif. Pada 2 Ogos saya buat ujian PCR pula dan keputusannya pun negatif.

"Kemudian 4 Ogos, saya dah mula rasa tak sedap badan. Manakala 5 Ogos saya dah selsema teruk dan sakit tekak, jadi kelmarin saya buat ujian PCR test sekali lagi dan keputusan petang kelmarin dapati saya positif," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Tarmizi dilaporkan berkata, kedua-dua pegawainya disahkan positif selepas saringan Covid-19 yang dilakukan pada 29 Julai lalu di bangunan Parlimen.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh mengesahkan seorang ahli parlimen yang menghadiri mesyuarat PAC minggu lalu positif Covid-19.

Tanpa menamakan Tarmizi, Wong berkata kali terakhir ahli parlimen yang juga ahli jawatankuasa PAC itu menghadiri mesyuarat adalah pada 27 Julai.

Wong juga berkata dua pegawai ahli parlimen itu juga tidak dibenarkan masuk ke mesyuarat PAC.

"Kami berharap rakan kami cepat sembuh.

"PAC mematuhi dengan ketat SOP kesihatan, termasuk membuka pintu bilik mesyuarat sepanjang perbincangan berlangsung bagi meningkatkan pengudaraan.

"Mulai 2 Ogos dan seterusnya, semua ahli harus melakukan ujian Covid-19 sendiri sebelum memasuki prosiding PAC," katanya dalam catatan di Facebook.

Tambahnya, dia juga telah meminta parlimen untuk memasang kipas untuk meningkatkan aliran pengudaraan di bilik mesyuarat PAC.

Lihat Komen
ADS