Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri masuk kumpulan ikut agenda musuh Umno - Puad
Diterbitkan:  Aug 7, 2021 9:45 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkhasi mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Ismail Yaakob sudah masuk dalam kumpulan yang mengikut agenda musuh Umno.

Puad berkata, Ismail yang juga naib presiden Umno sepatutnya bersolidariti dengan partinya sendiri, namun berlaku sebaliknya.

"Rupanya dia masuk kumpulan yang ikut agenda musuh Umno. Sepatutnya dia bersolidariti dengan partinya sendiri," kata Puad dalam kenyataan hari ini.

Selain itu Puad juga mendakwa Ismail sebagai mengingkari keputusan mesyuarat MKT Umno pada 3 Julai lalu.

"Ismail Sabri mendedahkan dirinya sebagai penentang keputusan parti.

"Dalam mesyuarat MKT dia berikrar akur keputusan parti dan sedia letak jawatan," katanya.

Dia berkata demikian ketika mengulas sidang media Ismail Sabri semalam bersama beberapa ahli parlimen BN yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Semalam Ismail mendakwa seramai 31 anggota parlimen BN menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun Ahli Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar dan Ahli Parlimen Baling, Azeez Abdul Rahim menafikan mereka menyokong PN seperti didakwa timbalan presiden Umno itu.

Pada hari yang sama, Ahli Parlimen Parit Sulung, Noraini Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberikan amaran bahawa Ismail akan berdepan akibat kerana menetang keputusan MKT Umno.

Mengulas lanjut, Puad menyifatkan sidang media yang diadakan Ismail semalam sebagai memakan diri buat Muhyiddin dan kerajaan PN.

"Ada beberapa sebab kenapa sidang Media Ismail Sabri pagi semalam makan diri dan tikam balik PM dan Kerajaan PN.

"Pertama, Dr Noraini Ahmad umum letak jawatan sebagai Menteri KPT. Ia malukan Ismail kerana Noraini ada “weightage”. 

"Kedua, Ismail memasukkan nama Noh Omar (Tanjong Karang) dan Abdul Azeez Rahim (Baling) dalam senarai yang sokong Muhyiddin. Tetapi kedua duanya nafi dalam sidang media berasingan.

"Kini Wanita, Pemuda dan Puteri Umno tidak bersama dengannya. Pengerusi-Pengerusi Perhubungan negeri juga tidak bersamanya," kata Puad.

Lihat Komen
ADS