Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GPS enggan dedah nama calon PM, dakwa tak dihubungi PH
Diterbitkan:  Aug 18, 2021 5:04 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Openg enggan mendedahkan nama calon perdana menteri yang telah dikemukakan gabungan parti itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi GPS di Kuching tengah hari ini, dia berkata hanya Agong boleh menamakan perdana menteri.

"Saya tidak dapat mengumumkan nama sebelum (Yang di-Pertuan) Agong," katanya, lapor Malay Mail.

Dalam laporan yang sama, Abang Johari juga menyatakan Pakatan Harapan tidak ada menghubungi GPS.

Sementara itu, Borneo Post melaporkan Ahli Parlimen Santubong, Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai berkata gabungan itu secara prinsipnya menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Laporan itu mengatakan ahli parlimen GPS dipercayai berkumpul di bangunan Dewan Undangan Negeri di Kuching hari ini untuk menyiapkan dokumen yang diperlukan.

Pada Feb 2020, GPS yang pada mulanya menyokong Dr Mahathir Mohamad mengubah fikiran mereka beberapa hari kemudian dan menyokong Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan agar kesemua 220 ahli parlimen menghantar nama calon perdana menteri secara bertulis sebelum jam 4 petang hari ini.

Muhyiddin meletakkan jawatan pada Isnin lalu setelah 15 ahli parlimen Umno  menarik balik sokongan terhadapnya.

Setakat ini, persaingan untuk merebut jawatan perdana menteri dipercayai melibatkan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera) dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Port Dickson).

Ahli Parlimen dari Umno dan Bersatu menyatakan parti itu akan menyokong Ismail, manakala Pakatan Harapan dan sekutunya mendakwa Anwar mempunyai 105 sokongan ahli parlimen.

Menurut Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan agar perdana menteri yang baru masih perlu membuktikan majoriti diperolehinya secepat mungkin di Dewan Rakyat.

Lihat Komen
ADS