Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
105 MP pembangkang bersatu, Anwar perlu cari enam lagi
Diterbitkan:  Aug 18, 2021 8:24 AM
Dikemaskini: 8:33 AM

Parti pembangkang kekal bersatu dengan 105 anggota parlimen menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai pilihan mereka untuk menjadi perdana menteri.

Tugas bagi Anwar sekarang, adalah untuk merapatkan jurang dan memperolehi sekurang-kurangnya enam lagi sokongan anggota Parlimen untuk mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat.

Pelbagai sumber mengesahkan bahawa selain 88 ahli parlimen Pakatan Harapan, Anwar kini mendapat sokongan daripada Warisan, Pejuang, Parti Sarawak Bersatu, dan dua wakil rakyat Bebas.

Presiden Warisan Shafie Apdal sebelum ini telah mengesahkan bahawa partinya akan menyokong Anwar setelah dia gagal mendapatkan sokongan yang sewajarnya.

Ketua Wira Warisan Mohd Azis Jamman selanjutnya mengesahkan bahawa mereka telah menandatangani SD bagi menyokong Anwar.

"Bola sekarang di gelanggang Anwar," ciap Azis.

Anwar akan bersaing dengan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob yang dipercayai sedang mendahului ketika ini.

Selain sokongan daripada Umno dan BN, Ismail Sabri juga dijangka mendapat sokongan daripada PAS dan Bersatu.

Sebelum ini seorang anggota parlimen dari GPS berkata mereka secara prinsip telah bersetuju untuk menyokong Ismail Sabri - ini memberi naib presiden Umno itu cukup sokongan untuk membentuk kerajaan.

Namun, tanda tanya mula timbul apabila Pengerusi GPS Abang Johari Openg mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa mereka akan menyerahkan perkara berkenaan kepada "kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong".

Ini ditafsirkan oleh beberapa pihak sebagai GPS berkecuali dalam pemilihan calon perdana menteri.

Abang Johari dan Ahli Parlimen Petra Jaya Fadillah Yusof kemudian mengesahkan bahawa GPS belum menyerahkan SD ke istana.

Namun, kedua-dua pemimpin GPS itu enggan mendedahkan siapa yang disokong oleh gabungan berkenaan.

Semua anggota parlimen telah diarahkan untuk memaklumkan kepada Istana Negara mengenai calon pilihan perdana menteri mereka sebelum jam 4 petang hari ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS