Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan kekalkan saman isu kerakyatan anak lahir di luar negara

Kerajaan hari ini gagal buat kali kedua untuk mengetepikan tuntutan saman berhubung hak kerakyatan automatik kepada bayi yang lahir di luar negara oleh wanita warga Malaysia dan bapa bukan warga.

Mahkamah Rayuan mengetepikan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman itu yang difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia.

Keputusan sebulat suara itu disampaikan pengerusi panel hakim Azizah Nawawi. Panel dianggotai hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais dan Mariana Yahya.

Ini bermakna saman tersebut akan didengar secara penuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Ogos ini.

Keputusan itu setelah penghujahan kedua-dua pihak.

Sebelum ini, kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi pada 6 Mei lalu untuk mengetepikan permohonannya agar saman tersebut dibatalkan.

Kerajaan adalah defendan tunggal dalam saman itu manakala Family Frontiers dan enam wanita itu sebagai plaintif.

Ketika menolak permohonan kerajaan itu, hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan tindkan perundangan itu melibatkan isu penting dan tidak remeh seperti yang dinyatakan kerajaan.

Dia antara lain berkata, ia melibatkan isu diskriminasi dalam undang-undang kerakyatan negara terhadap wanita, dan kerajaan perlu memberikan justifikasi ketika pendengaran penuh dibuat.

Mengulas keputusan itu sebelum ini, Family Frontiers berkata ia disambut penuh harapan oleh ratusan wanita Malaysia yang menunggu pemberian kewarganegaraan untuk anak-anak mereka.

"Sangat menyedihkan apabila kerajaan Malaysia berusaha untuk merampas keadilan dari wanita-wanita ini, dan dengan memanjangkan kesulitan kepada wanita Malaysia dan anak-anak mereka yang bukan warganegara.

"Walaupun kerajaan Malaysia terus mempersoalkan kesahihan dan ketulusan kes yang difailkan mengenai undang-undang kewarganegaraan Malaysia, ribuan wanita Malaysia dan anak-anak mereka yang bukan warganegara terus berhadapan akses yang tidak sama terhadap hak fundamental, setiap hari.

"Ini adalah peluang yang terlepas bagi kerajaan Malaysia untuk memperbaiki diskriminasi ini dan membuat pindaan bagi wanita-wanita yang telah terkesan selama lebih dari 60 tahun akibat ketidakmampuan mereka untuk mendapatkan kewarganegaraan bagi anak-anak mereka secara setara dengan lelaki-lelaki Malaysia," kata kumpulan itu.

Tuntutan itu difailkan pada 18 Disember lalu, yang mana tujuh plaintif meminta mahkamah mengisytiharkan agar wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dapat secara automatik mewariskan kewarganegaraan kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

Ia selepas kerajaan menolak untuk memberi kebenaran itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS