Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan rayu batal saman isu kerakyatan anak lahir di luar negara

Kerajaan Malaysia telah mengemukakan rayuan bagi membatalkan saman yang menuntut kewarganegaraan automatik diberikan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dengan pasangan lelaki warga asing.

Dalam satu kenyataan media hari ini, NGO Family Frontiers menyatakan kekecewaannya dengan tindakan kerajaan mengemukakan rayuan tersebut.

Kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu pada 6 Mei lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman oleh kumpulan hak asasi itu dan enam ibu warga Malaysia.

Kumpulan itu dan enam wanita berkenaan merupakan tujuh plaintif dalam saman itu, manakala kerajaan merupakan satu-satunya defendan dalam saman tersebut.

Ketika menolak permohonan berkenaan tanpa perintah membayar kos, hakim Akhtar Tahir memutuskan bahawa tindakan undang-undang itu melibatkan isu penting yang bukan remeh.

Hakim berkata ia melibatkan isu diskriminasi dalam undang-undang kerakyatan negara terhadap wanita Malaysia, dan kerajaan perlu memberi justifikasinya ketika pendengaran penuh saman tersebut.

Dia kemudian menetapkan 30 Jun sebagai tarikh pendengaran saman pemula yang difailkan Family Frontiers dan enam wanita tersebut.

Family Frontiers hari ini berkata keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 Mei disambut penuh harapan oleh ratusan wanita Malaysia yang menunggu pemberian kewarganegaraan untuk anak-anak mereka.

"Sangat menyedihkan apabila kerajaan Malaysia berusaha untuk merampas keadilan dari wanita-wanita ini, dan dengan memanjangkan kesulitan kepada wanita Malaysia dan anak-anak mereka yang bukan warganegara.

"Walaupun kerajaan Malaysia terus mempersoalkan kesahihan dan ketulusan kes yang difailkan mengenai undang-undang kewarganegaraan Malaysia, ribuan wanita Malaysia dan anak-anak mereka yang bukan warganegara terus berhadapan akses yang tidak sama terhadap hak fundamental, setiap hari.

"Ini adalah peluang yang terlepas bagi kerajaan Malaysia untuk memperbaiki diskriminasi ini dan membuat pindaan bagi wanita-wanita yang telah terkesan selama lebih dari 60 tahun akibat ketidakmampuan mereka untuk mendapatkan kewarganegaraan bagi anak-anak mereka secara setara dengan lelaki-lelaki Malaysia," kata kumpulan itu.

Melalui tindakan undang-undang yang difailkan pada 18 Disember tahun lalu, ketujuh-tujuh plaintif meminta pengisytiharan mahkamah bahawa wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing secara automatik boleh memperoleh kewarganegaraan untuk anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Ini berlaku selepas kerajaan menolak kelayakan bagi anak-anak yang dilahirkan wanita berkenaan untuk mendapat kewarganegaraan. Kerajaan merupakan defendan dalam saman tersebut.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS