'Terima kasih Ni, sentiasa ada di sisi Sabri'
Sehari selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan, Ismail Sabri Yaakob, berkongsi penghargaan kepada Isterinya, Muhaini Zainal Abidin.
Dalam catatan di Facebook Anggota Parlimen Bera itu berkata, suri hatinya itu sentiasa di sisi sejak dikenalinya pada usia 19 tahun.
"Isteri saya orang yang sentiasa ada di sisi saya sejak berkawan dengann dia dari saya berumur 19 tahun.
"Saya menyertai politik pada tahun 1986, pada umur 26 tahun dan waktu itu kami baru saja mendirikan rumah tangga," katanya.
Semalam Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri bagi menggantikan Muhyyidin Yassin yang meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti.
Ia selepas sekitar hampir dua bulan naib presiden Umno itu dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Ismail berkata, Nani (Muhaini) adalah seorang yang sangat ringkas dan sentiasa tak mahu berada di bawah sorotan media.
"Sebab itu jarang sangat nampak dia. Terima kasih Ni, sebab sentiasa ada di sisi Sabri.
"Daripada Sabri tak ada apa-apa sehingga lah ke hari ni. Susah senang bersama," jelasnya yang turut memuat naik gambar memaparkan Muhaini sedang mengenakan butang baju melayu hitam yang dipakai ketika majlis angkat sumpah, semalam.

