BBC DUN Selangor mahu semua isu Dr Mahathir dijawab
Kelab Penyokong Kerajaan Dewan Undangan Negeri (BBC DUN) Selangor mahu kerajaan menjawab secara terperinci semua isu yang dibangkitkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Setiausahanya Abdul Rahman Bakri dalam satu kenyataan Rabu berkata, penjelasan itu amat perlu bagi membolehkan pemimpin Umno di peringkat bawahan melanjutkan penjelasan ke peringkat akar umbi.
Kelab itu berharap dan merayu kepada bekas perdana menteri itu agar tidak mengkritik lagi sehingga penjelasan dibuat oleh pihak kerajaan.
Menurut laparan Bernama, BBC DUN Selangor membuat ketetapan itu dalam mesyuaratnya di Shah Alam semalam. Mesyuarat itu juga mahu Dr Mahathir tidak mengkritik lagi selepas penjelasan diberikan.
Beliau berkata dalam masa yang sama BBC DUN Selangor menyokong penuh kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Kelab itu juga berharap pihak media dapat memainkan peranan untuk mengendurkan dan menenangkan isu itu serta kedua-dua pemimpin saling bermaaf-maafan dan bersalam-salaman sempena hari baik (Aidilfitri) dan bulan baik (Syawal) ini.
Ia turut mengharapkan Dr Mahathir dapat terus memberi sumbangan idea dan terus menyokong kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri.
Puteri Umno
Sementara itu di Kuala Lumpur, Puteri Umno mahu Dr Mahathir berhenti mengkritik kerajaan dan membantu membangunkan agenda Melayu terutama menjelang perhimpunan agung Umno yang bermula 13 November ini.
Ketua pergerakan itu Datuk Noraini Ahmad berharap bekas perdana menteri itu dapat menggunakan platform yang betul untuk mengutarakan pandangannya daripada mengkritik secara terbuka.
Beliau sedih dengan tindakan Dr Mahathir yang terus menerus mengkritik kerajaan pimpinan Abdullah.
Noraini berkata pada mulanya beliau menganggap pertemuan antara Dr Mahathir dan Abdullah pada 22 Okt lepas di Seri Perdana, Putrajaya sebagai "hadiah terbaik Hari Raya" tetapi kecewa apabila Dr Mahathir terus mengkritik kerajaan selepas pertemuan itu.
"Cukuplah...Apa lagi yang beliau mahu?", katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan raya kepada pesakit di wad kanak-kanak Institut Jantung Negara.
Ditanya sama ada pergerakan itu akan membincangkan isu berkenaan pada perhimpunan agung kali ini, Noraini berkata isu itu mungkin akan dibincangkan tetapi bukan secara spesifik.
"Kami masih dalam perbincangan mengenai usul yang akan dibawa pada perhimpunan akan datang. Fokus akan diberikan kepada kebajikan dan sosial," katanya.