Ekoran kontroversi ahli dewan undangan negeri Selangor (Adun) Pelabuhan Kelang, Datuk Zakaria Md Deros kini semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sama ada anggota Parlimen (MP) atau Adun dilarang menganggotai majlis berkuasa tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz berkata perkara itu diputuskan pemimpin BN yang menghadiri mesyuarat Kabinet hari ini.

"Kita (BN) sebagai satu understanding di banyak negeri tidak beri Adun atau MP jadi ahli majlis... mungkin di Selangor masih guna. Tetapi sekarang kita nak ketatkan dan jadikan satu arahan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya.

Nazri berkata larangan ke atas wakil rakyat BN itu adalah wajar memandangkan kedudukan mereka itu secara tidak langsung akan memberi tekanan kepada presiden majlis berkuasa tempatan.

"Bila Adun duduk dalam majlis, ia secara tidak langsung beri tekanan kepada presiden majlis yang biasanya adalah pegawai daerah untuk membuat keputusan dan kita tidak mahu masalah seperti ini timbul," katanya.

Mengenai persoalan anggota keluarga dilantik menjadi ahli majlis, Nazri berkata perkara itu juga akan dikaji sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.

"Sebelum ini tidak pernah berlaku dan bila sudah berlaku, kita kena atasilah," jelas beliau.

Menurut laporan Bernama, kontroversi menyelubungi Zakaria timbul apabila beliau dilaporkan membina banglo tanpa mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Kelang (MPK) di mana beliau bersama anak lelaki dan menantunya menjadi ahli majlis.

Ia turut menarik perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menasihatkan Zakaria untuk melepaskan jawatan sebagai ahli majlis MPK.

Dalam perkembangan lain, Nazri berkata kerajaan tidak mempunyai niat untuk melambat-lambatkan atau cuba menutup kes-kes membabitkan orang kenamaan.

Ditanya mengenai kes-kes berprofil tinggi yang masih belum diambil tindakan mahkamah walaupun telah agak lama dilaporkan, katanya, setiap kes perlu disiasat dengan teliti.

"Kita tidak boleh menyediakan kes dengan tergesa-gesa nanti ia akan dibuang oleh mahkamah. Hanya kerana ia membabitkan VIP, takkan minggu ini keluar (berita) minggu depan dakwa di mahkamah," tegas beliau.