mk-logo
Berita
Undi percaya PM boleh 'jejas kuasa Agong' - Peguam negara
Diterbitkan:  Sep 4, 2021 6:36 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Memandangkan Yang di-Pertuan Agong telah melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan maka tidak perlu undi percaya di Dewan Rakyat, kata Peguam Negara Idrus Harun.

Dia berhujah undi percaya perdana menteri boleh menjejaskan kuasa Agong.

"Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain.

"Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh hal yang demikian, berdasarkan kepada fakta-fakta dan kedudukan di atas, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan YAB Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang," kata Idrus pada satu kenyataan hari ini.

Pun begitu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah perdana menteri yang dilantik perlu secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Kenyataan Istana Negra pada 18 Ogos itu susulan daripada pertemuan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan yang di-Pertuan Agong Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan bersama dengan ketua-ketua parti politik berikutan peletakan jawatan perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Lihat Komen
ADS