Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM baru perlu segera kemuka usul undi percaya di Dewan Rakyat
Diterbitkan:  Aug 18, 2021 1:38 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah Perdana Menteri yang dilantik perlu secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

"Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa perdana menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Dalam hal ini, baginda selanjutnya bertitah selaku ketua utama Negara, akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluruhan Perlembagaan dan Kedaulatan Undan-Undang," titah baginda melalui kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin, yang disiarkan Istana Negara, hari ini.

Kenyataan itu susulan daripada pertemuan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan yang di-Pertuan Agong Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan bersama dengan ketua-ketua parti politik yang berlangsung semalam, berikutan peletakan jawatan perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu Ahmad Fadil berkata, tindakan baginda itu bagi mengesahkan keabsahan perdana menteri mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan sama, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.

"Seri Paduka Baginda dan Paduka Seri Sultan Perak telah menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan ketika kita masih diancam pandemik Covid-19.

"Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini," kata Ahmad Fadil.

Sementara itu tambahnya, sebelum mengakhiri sesi menghadap semalam, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama agar mengharmonikan suasana.

"Ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan.

"Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua.

"Baginda juga menzahirkan harapan agar ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain akan turut diatur bagi sesi-sesi menghadap daripada semasa ke semasa," jelas Ahmad Fadil.

Lihat Komen
ADS