Umno serah kebijaksanaan PM kemudi pentadbiran negara - Zahid
Umno menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membuat keputusan yang sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara.
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi catatan di Facebook rasminya hari ini berkata ini termasuk dalam soal pembentukan Jemaah Menteri dan perlantikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.
“Saya menerima banyak pertanyaan, bahkan sempat membaca pelbagai komen bertanyakan mengenai apakah pendirian Umno dalam pembentukan Jemaah Menteri dan pelantikan mantan perdana menteri.
“Parti telah membuat pendirian menyokong perlantikan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri. Ini bermakna, parti menyerahkan kebijaksanaan kepada beliau sebagai perdana menteri dalam membuat keputusan atau kebijakan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata bagaimanapun adalah menjadi tanggungjawab perdana menteri untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan.
“Umno konsisten dalam pendiriannya. Bagi pihak parti, saya akan memastikan kita akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara
“Inilah semangat dan prinsip demokrasi yang wajar kita suburkan. Kerajaan ada peranan dan tanggungjawabnya dalam memenuhi keperluan rakyat. Parti pula akan terus berperanan sebagai kuasa pengimbang yang sentiasa bergerak senafas dengan rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata untuk tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehinggalah pandemik mulai reda, kerajaan dan parti akan saling lengkap-melengkapi dan bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing.
- Bernama

