Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahmad Noor Azhar berdepan pertuduhan bunuh ‘pak guard’
Diterbitkan:  Sep 9, 2021 12:51 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Ahli perniagaan, Ahmad Noor Azhar Muhammad yang menyerang seorang pengawal keselamatan (pak guard) di sebuah kondominium sebelum ini dihadapkan ke mahkamah sekali lagi hari ini atas tuduhan membunuh.

Lelaki berusia 33 tahun itu dihadapkan di Mahkamah Majistret di Ipoh, Perak mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ini selepas pihak polis mengklasifikasikan semula serangan ke atas Thava Sagayam, ketika sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh Disember tahun lepas sebagai kes bunuh. Ia susulan mangsa yang meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

Jika didapati bersalah, Ahmad Noor Azhar akan ke tali gantung kerana dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus. Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ahmad Noor Azhar didakwa membunuh Thava di Tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff, antara jam 8 pagi hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020.

Bagi pertuduhan awal mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan, mahkamah melepaskan tanpa membebaskan tertuduh.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azalina Rashdi, manakala tertuduh diwakili peguam, Ariff Azami Hussein.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Mior Faridalthrash Wahid dalam satu kenyataan berkata mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya dengan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan kematian mangsa adalah akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Bagaimanapun, pada 29 Ogos, ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran menggesa agar ahli perniagaan itu dikenakan tuduhan membunuh susulan kematian mangsa pada 27 Ogos, lapan bulan selepas dia dirawat di hospital.

Kula mendesak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Ahmad Noor Azhar yang didakwa pada bulan Januari di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Pada 31 Ogos, Mior berkata pihak polis mengklasifikasikan semula kes tersebut sebagai kes bunuh, selepas mangsa meninggal dunia.

Mior berkata pihaknya telah merujuk semula kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya hari ini dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada suspek.


Lihat Komen
ADS