Kementerian Luar Singapura menyifatkan titah Sultan Johor agar Tambak Johor dirobohkan bagi menjadikan Johor lebih maju, menimbulkan tandatanya.

Channel NewsAsia (CNA) melaporkan jurucakap kementerian berkenaan sebagai berkata,Singapura tidak percaya gesaan itu mencerminkan pendirian kerajaan Malaysia.

Menurut laporan Bernama, Sultan Iskandar menimbulkan kejutan di majlis pelancaran Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) semalam apabila baginda bertitah agar tambak yang menghubungkan Malaysia dan Singapura itu diroboh.

"Causeway tu, bukakan... baru negeri Johor ni maju," titah baginda sebelum melancarkan projek itu yang disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Menjawab pertanyaan CNA tentang titah Sultan Johor itu, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata: "Saya rasa perkara paling penting ialah kita melihat titah dan komen itu dalam konteksnya yang sebenar.

"Saya fikir apa yang paling penting ialah kita perlu sentiasa belajar dari masa lampau dan pastikan apa jua pembangunan yang bakal kita laksanakan, akan membawa manfaat kepada kesejahteraan kita dan demi kebaikan rakyat," katanya.

Dibina penjajah

Semalam, Sultan Johor bertitah kewujudan tambak yang dibina penjajah Inggeris itu, kini menghalang kapal-kapal daripada melalui Selat Tebrau, yang menyebabkan Johor sering menerima kutukan.

Tambak Johor sepanjang 3,465 kaki (1,050 meter) dari Johor Bahru ke Singapura, dibina pada tahun 1920 dengan keseluruhan strukturnya berukuran 60 kaki lebar (18.18 meter).

Ia menampung dua landasan keretapi serta jalanraya selebar 26 kaki (7.87 meter). Ia juga membawa pair air dari Johor ke Singapura dan sebaliknya serta kabel komunikasi.

Tambak Johor itu menjadi isu utama dalam hubungan Malaysia dan Singapura, apabila Malaysia mahu laluan itu digantikan dengan jambatan baru, sehinggalah cadangan itu dibatalkan April tahun lalu.

Pihak berkuasa Malaysia berkata ketinggian Tambak Johor telah menghadkan laluan kapal ke pelabuhan di Malaysia dan mencadangkan supaya sebuah jambatan baru dibina untuk memudahkan pergerakan kapal.

"Biar kapal melaluinya," kata Sultan Iskandar yang dikenali sebagai seorang pemerintah yang suka berterus terang dalam titah baginda.

Bulan lalu, baginda menjadi tumpuan perhatian awam apabila menasihatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berhenti mengkritik kerajaan dan 'hidup seperti seorang pesara".