Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata apa yang berlaku antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu dihentikan segera tanpa campurtangan pihak ketiga.

Katanya, walaupun Pas sebagai parti pembangkang tentunya akan mendapat keuntungan daripada senario yang berlaku dalam Umno sekarang, namun ia tidak selesa melihat keadaan itu berterusan.

Nik Aziz juga berharap kritikan melampau terhadap Dr Mahathir dihentikan bagi menghormati pemimpin yang telah menerajui kerajaan selama 22 tahun itu.

Pada yang sama, Mursyidul Am PAS itu juga berkata, Dr Mahathir juga harus menerima hakikat bahawa cara pentadbiran kerajaan pimpinannya tidak mungkin sama dengan gaya kepimpinan Abdullah.

Menurut laporan Bernama, Nik Aziz berkata, bekas perdana menteri itu tentunya menyedari bahawa setiap pemimpin ada cara sendiri dalam menyelesaikan masalah.

"Tun (Dr Mahathir) mesti terima hakikat akan ada perbezaan kerajaan dulu dan sekarang. Tiap-tiap pemimpin ada cara mereka sendiri untuk selesaikan masalah, (maka) tidak bolehlah tegur dengan hebat hanya kerana pemimpin baru tidak serupa dengan yang dulu," katanya pada sidang akhbar di kediaman rasminya di Kota Bharu, sehari selepas dibenarkan keluar dari hospital semalam.

Nik Aziz dirawat selama lima hari kerana menghidap selesema sejak Selasa lalu.

Beliau berkata, setiap kerajaan baru tidak semestinya meneruskan keseluruhan program yang dirancang kerajaan terdahulu kerana perlu bertindak sesuai dengan masa dan keadaan.

"Saya sendiri pun, bila sampai masa saya akhirkan jawatan, entah bila, hanya Allah yang tahu, orang yang akan sambung kerja saya tidak semesti turut 100 peratus apa yang saya buat," katanya.