Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya mangsa diseret ke mahkamah sebab dana politik tak diaktakan'

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan menyokong penggubalan akta pembiayaan dana politik, mendakwa ketiadaan undang-undang yang jelas menyebabkan dia diseret ke mahkamah.

Bercakap sebagai ahli panel di forum dalam talian anjuran Sinar Harian malam tadi, Ahmad berkata kerajaan BN pada 2009 telah memulakan usaha untuk mengatur pembiayaan dana politik.

Penglibatan dengan pihak berkepentingan akhirnya membentuk jawatankuasa perundingan kebangsaan bagi pembiayaan dana politik yang pada tahun 2016 dilaporkan membuat 32 saranan termasuk mengemukakan Rang Undang-Undang Dana dan Perbelanjaan Politik (PDEA).

"Kenapa tiba-tiba saya ingin cadangkan perkara ini?

"Saya ingin memperkenalkan semula kerana saya menjadi mangsa kepada dana politik yang tidak diaktakan," dakwa Ahmad bekas timbalan menteri kewangan era pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

Dia merujuk kepada dua tuduhan pengubahan wang haram kerana gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan tuduhan memberikan kenyataan palsu kepada SPRM.

Akibat menghadapi perbicaraan mahkamah, Ahmad berkata dia tidak mendapat sebarang jawatan dalam pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ahmad berkata, 80 individu dan entiti telah dikeluarkan notis komprehensif oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam usaha untuk mendapatkan kembali lebih daripada RM420 juta wang 1MDB.

"Kenapa saya jadi mangsa? Kenapa 80 orang jadi mangsa? Kerana kita tidak ada Akta Dana Politik

"Contoh: tak ada kata tak boleh terima dana dari luar negara," katanya.

Ahmad berkata penolakan terhadap RUU akta dana politik sedia ada datang daripada parti pembangkang yang menimbulkan kebimbangan mengenai bagaimana syarikat mungkin menjadi sasaran kerajaan kerana sumbangan mereka.

Menjawab soalan penganalisis politik Wong Chin Huat, yang juga moderator forum, Ahmad berkata ada masalah baru berkaitan dana politik yang harus ditangani, termasuk derma yang dikumpulkan untuk ikat jamin seseorang ahli politik.

"Terdapat banyak perincian yang mesti dikaji. Sebilangan masalah ini mungkin kelihatan remeh tetapi sebenarnya penting," katanya.

Melangkah ke hadapan, Ahmad, yang telah dicalonkan untuk jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat, mengusulkan agar sebuah jawatankuasa parlimen khas dibentuk dan menghidupkan kembali rang undang-undang pembiayaan politik sedia ada.

Seorang lagi panelis, ketua pegawai eksekutif badan pemikir dasar awam Ideas, Tricia Yeoh (gambar, atas) berkata pertimbangan baru dapat diberikan mengenai isu pendanaan asing untuk parti politik.

Secara khusus, dia menyebut latihan yang ditawarkan di bidang-bidang yang menyumbang kepada pemerkasaan sistem parlimen dan demokrasi secara keseluruhan.

"Adakah tidak okay untuk menerima latihan seperti itu," soalnya.

Yeoh dan Ahmad juga menyentuh berbagai pilihan dana awam untuk parti politik, berbanding dengan sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat swasta.

"Antara faedah dana awam termasuk mengurangkan pergantungan kepada penderma dengan kepentingan tersendiri. Kami ingin memisahkan konflik kepentingan itu," kata Yeoh.

Dia berkata memperuntukkan dana awam untuk parti politik juga dapat meningkatkan penyertaan wanita dan anak muda melalui insentif langsung.

Pengarah strategik Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad juga turut menjadi panelis pada forum malam tadi.

Dia berkata masalah pendanaan politik mesti ditangani secara holistik untuk akhirnya memastikan pertandingan yang adil antara ahli parlimen parti pemerintah dan pembangkang.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu memetik pengalamannya menjadi pembangkang dan menteri kesihatan selama 22 bulan bawah pemerintahan Pakatan Harapan sehingga runtuh pada Februari tahun lalu.

Pada Oktober 2019, menteri undang-undang Liew Vui Keong - yang telahpun meninggal dunia - berkata rang undang-undang pembiayaan politik akan dibentangkan di Parlimen pada tahun 2020, sementara menunggu maklum balas dan cadangan daripada pelbagai kementerian.

Tetapi kerajaan Pakatan Harapan digulingkan beberapa bulan kemudian menyebabkan perkara itu tidak dapat diselesaikan.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS