Ahli perniagaan nafi individu ditahan dalam serbuan kastam
Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis setelah dikaitkan sebagai antara individu yang ditahan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berkaitan penyeludupan dadah.
Abdul Malik Dasthigeer, 39 atau lebih dikenali sebagai 'Dato Malik' berkata dia tiada kaitan dengan penangkapan yang dibuat kastam, termasuk terhadap seorang bergelar datuk pada 31 Ogos lalu.
Dia membuat penafian itu setelah nama dan gambarnya ditularkan di media sosial sebagai "datuk" tersebut.
"Saya menegaskan bahawa saya bukan individu dinyatakan dalam gambar dan video yang ditularkan. Malah, saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan penangkapan tiga individu tersebut.
"Saya percaya individu yang menyiarkan nama dan gambar saya tersebut berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi dan nama baik saya," katanya kepada Malaysiakini.
Dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 6 September.
Pada 31 Ogos, JKDM dilaporkan menahan tiga individu selepas disyaki cuba menyeludup keluar dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM14.4 juta menerusi Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Ketua Pengarah Kastam, Abdul Latif Abdul Kadir, berkata dadah berkenaan disimpan dalam dua kotak kayu besar untuk dieksport ke luar negara.
Sementara itu, Malik berkata bahawa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu menyebarkan berita palsu terhadap dirinya.
"Saya akan membuat tuntutan saman fitnah sebanyak RM50 juta terhadap ke atas dua akhbar tempatan, penyebar mesej WhatsApp dan Facebook yang mendakwanya terlibat dalam pelbagai aktiviti haram dan penyeludupan dadah.
"Saya telah meminta peguam saya untuk menghantar notis tuntutan dalam masa terdekat," katanya.

