mk-logo
Berita
PH tak rugi apa-apa MOU dengan kerajaan, M'sia raih manfaat - Pua
Diterbitkan:  Sep 15, 2021 5:05 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Pakatan Harapan (PH) akan terus memainkan peranannya sebagai pembangkang walaupun telah menandatangani perjanjian untuk menyokong kerajaan persekutuan di Dewan Rakyat secara bersyarat.

Dalam wawancara dengan KiniTV,  Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata sekarang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menunaikan janjinya, jika gagal, ia akan kehilangan kredibiliti dan sokongan PH.

Katanya, tidak ada apa-apa dalam perjanjian yang menghalang PH daripada memainkan peranan sebagai pembangkang dan mengkritik kerajaan apabila perlu.

"Jika kerajaan memenuhi syarat mereka ... dengan melaksanakan semua reformasi dan (memenuhi) permintaan yang telah kami buat, maka rakyat dan demokrasi Malaysia mendapat manfaat.

"Ini tidak ada masalah bagi kami kerana kami tidak akan kehilangan apa-apa," kata Pua.

Pada 13 September, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi pihak kerajaan Persekutuan, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tentang transformasi dan kestabilan politik dengan PH.

Melalui perjanjian itu kerajaan menjanjikan senarai panjang pembaharuan yang merangkumi reformasi parlimen, menurunkan had usia mengundi, meluluskan rang undang-undang antilompat parti, menghadkan tempoh jawatan perdana menteri ke dua penggal, memberi fokus kepada Covid-19, memastikan kebebasan kehakiman dan memenuhi Perjanjian Malaysia 1963.

Pelaksanaan pembaharuan ini akan dipantau oleh 10 Ahli jawatan orang anggota yang bersifat bipartisan dan akan bermesyuarat dua minggu sekali.


BACA BERKAITAN:

Panduan untuk perjanjian kerajaan-PH


Pua berkata ahli parlimen PH tidak akan mendapat apa-apa keuntungan peribadi daripada perjanjian itu, tetapi gabungan itu secara keseluruhannya sekarang akan mempunyai suara dalam rang undang-undang kerajaan, terutama membabitkan belanjawan.

"Bagi saya itu adalah kemenangan bagi pembangkang, PH dan rakyat. Ini bukan situasi di mana pembangkang hanya menuruti setiap kehendak dan kemahuan kerajaan. Ini sebaliknya," katanya.

Secara tradisinya, kerajaan persekutuan menggunakan pendekatan bermusuh dengan mengabaikan pembangkang, kata Pua. Namun, dengan perjanjian itu, pandangan pembangkang akan dimasukkan ke dalam dasar kerajaan.

"Saya telah berada di parlimen selama 12 tahun sekarang, 10 tahun daripadanya bersama pembangkang ... Dalam 10 tahun itu, saya boleh menjerit seberapa banyak yang saya mahukan.

"Orang ramai menyukainya tetapi tidak ada yang benar-benar dipertimbangkan. Tidak ada manfaat besar yang diraih.

"Melangkah ke depan, kami berpandangan, secara tidak langsung atau sebaliknya, sebenarnya akan dipertimbangkan dari sudut pandang substantif dan dimasukkan ke dalam sebahagian rang undang-undang.

"Inilah kemajuan. Itu baik untuk demokrasi Malaysia," katanya.

Pua, bersama rakan-rakan DAP Ong Kian Ming dan Anthony Loke, antara arkitek utama perjanjian itu bagi pihak PH.

Ketiga-tiga mereka telah membuat perjanjian serupa yang ditawarkan oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos setelah kehilangan sokongan 15 ahli parlimen Umno yang diketuai oleh Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Namun, perjanjian itu ditolak oleh pimpinan tertinggi PH. Ini memaksa Muhyiddin mengundurkan diri dan membiarkan Ismail mengambil alih kuasa pada 22 Ogos.

Pua berkata dia terkejut kerana Ismail bersedia melakukan perjanjian itu pada awal pentadbirannya.

Menurut Pua, terdapat spekulasi perdana menteri yang baru khuatir jika dia akan mengalami nasib sama seperti Muhyiddin.

"(Ismail) melakukan ini untuk memastikan bahawa Zahid dan Najib sekarang tidak boleh mengancamnya dengan 'Umno 10' atau '15' dan menarik diri dengan alasan apa pun.

"Kita semua tahu bahawa mereka semua mahu keluar dari penjara dan mereka mahu kes mereka digugurkan. Itulah yang ingin kita hindari," kata Pua.

Katanya dia difahamkan terdapat kebimbangan di kalangan penyokong PH bahawa Ismail dan Najib masih sekutu dan perjanjian itu seolah-olah perjanjian antara PH dengan Najib.

PH, kata Pua, telah menunjukkan kekuatannya dengan menandatangani perjanjian awam terlebih dahulu serta berharap Najib dan Zahid akan dapat dipastikan untuk menyelesaikan kes perbicaraan mereka.

"Pendirian saya sangat sederhana. Jika kami tidak menandatangani perjanjian dengan Ismail Sabri, dia pasti akan memutuskan perjanjian dengan Najib kerana dia memerlukan 114 (kerusi).

"Dengan perjanjian bersama Ismail Sabri, mungkin dia tidak akan mengalah (kepada Najib)," kata Pua.

Najib telah disabitkan bersalah oleh mahkamah kerana menyelewengkan dana milik SRC International Sdn Bhd. Dia mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu dan turut menghadapi perbicaraan kes rasuah membabitkan 1MDB.

Zahid pula sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah atas tuduhan mengubah wang haram melalui yayasan amal.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS