Semua perwakilan Pemuda Umno dilarang membangkitkan krisis Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di perhimpunan agung pergerakan itu minggu depan.

Ketua penerangan pergerakan itu Datuk Azimi Daim berkata ketetapan itu dibuat dengan mengambil kira nasihat Naib Presiden Umno Datuk Seri Muhyiddin Yassin yang mahu Pemuda lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataaan.

"Kita sudah membuat satu persetujuan kita akan akur dengan pandangan pimpinan kita mengenai isu-isu terkini," katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jurucakap Pemuda untuk Perhimpunan Agung Umno di ibu pejabat pergerakan itu di ibunegara hari ini.

"Semua jurucakap negeri telah ditetapkan dan mereka secara kasar telah diberi bidang atau skop yang perlu diutarakan.

"Nasihat kepada jurucakap kita supaya kita tak payah panjang lebar kepada hal ini (perselisihan Abdulla dengan Dr Mahathir) sebab banyak pihak dah buat berbagai-bagai pandangan dan cadangan kepada majlis tertinggi (MT) dan MT dah ambil keputusan," katanya.

Dalam sesi soal jawab dengan media, beliau menjelaskan para perwakilan Pemuda tidak dikongkong daripada membuat kritikan sama sekali tetapi menganjurkan supaya setiap kritikan dilakukan dengan berhemah.

"Cuma kita bagi panduan kepada perwakilan supaya intipati ucapan itu akan dilihat atau didengar oleh ramai orang, jadi dia kena bertanggungjawab terhadap apa yang dikemukakan," katanya.

Menurut laporan Bernama, pergerakan itu sebaliknya akan mengutarakan isu-isu agama, pendidikan, ekonomi, politik serta sosial yang secara langsung mengulas ucapan dasar presiden pergerakan itu Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein nanti.

"Antara isu yang bakal dibangkitkan adalah kesepakatan Pemuda Barisan Nasional kerana terdapat beberapa isu kebelakangan ini yang memerlukan Pemuda BN melihat hubungan politik kita ini dari sudut yang lebih luas."

Perwakilan pergerakan itu juga akan menyentuh tentang budaya, tabiat dan pemikiran orang Melayu, umat Islam dan agama Islam serta penglibatan Pemuda Umno dalam isu antarabangsa selain memperkukuh hubungan dengan pergerakan Pemuda dalam Barisan.

Tambahnya, Pemuda Umno juga akan menyentuh tentang pentadbiran kerajaan dalam konteks pemantapan pelaksanaan dan peningkatan integriti dengan fokus kepada kepentingan orang Melayu.