Kementerian Pengajian Tinggi menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan ada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit dalam penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai dakwaan pembaptisan sekumpulan orang Melayu di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Polis telahpun memanggil lima individu untuk memberikan keterangan dalam kes itu yang disiasat mengikut Akta Hasutan.

Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed berkata terpulang kepada pihak polis mendakwa mana-mana pelajar IPT jika terbukti terbabit melakukan fitnah melalui SMS itu sehingga menggugat keharmonian negara.

"Ini kesalahan yang sangat berat dan perlu kepada hukuman yang berat...tiada siapa terkecuali (jika terbabit)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dirasmikan oleh Sultan Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Menurut laporan Bernama, akibat penyebaran SMS tersebut sekumpulan orang Islam termasuk anggota badan bukan kerajaan (NGO) telah berkumpul di gereja Silibin, Ipoh, Ahad lalu.

Tiada siasatan dalaman

SMS itu turut mengaitkan nama Politeknik Ungku Omar di Ipoh yang kononnya 600 pelajarnya telah menganut Kristian.

Mustapa berkata, kementeriannya belum bercadang menjalan siasatan dalaman mengenai kesahihan dakwaan adanya pelajar IPT terbabit.

"Tunggu siasatan polis dahulu dan bila dah siasat dan dah sebut nama mana-mana pihak dan jika ada (pelajar) terbabit barulah sesuatu akan dilakukan," katanya.

Mustapa juga tidak menolak kemungkinan ia sengaja disebarkan untuk menjatuhkan nama baik seseorang termasuk pelajar IPT.

Akibat penyebaran SMS itu, pelayar negara Datuk Azhar Mansor kembali mendapat perhatian yang kononnya beliau terbabit dalam upacara pembaptisan itu.