mk-logo
Berita
Hamzah: KDN, AADK sedia draf RUU ganti Akta Penagih Dadah 1983
Diterbitkan:  Sep 22, 2021 8:11 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyediakan draf Rang Undang-Undang Penyalahgunaan Dadah dan Substan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang lama.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata sebelum membentangkan akta itu di parlimen, KDN akan memperuntukkan waktu mencukupi bagi mengadakan sesi libat urus untuk mendapatkan maklum balas menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

"Ini adalah untuk memastikan akta baru akan merangkumi aspek perundangan lebih komprehensif, tersusun dan membolehkan lebih ramai penagih serta penyalahgunaan dadah dan substan dapat menerima rawatan dan pemulihan sewajarnya," katanya.

Hamzah berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) Dan Hari Kepulihan AADK Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 secara dalam talian hari ini.

Sementara itu, beliau berkata tema ‘Solidariti Kepulihan’ sempena simposium ini adalah tepat untuk terus meningkatkan kadar pengekalan kepulihan dalam kalangan bekas penagih dadah dan memberikan peluang kedua kepada bekas klien (penagih dadah) untuk kembali berbakti kepada masyarakat.

Hamzah berkata kerjasama daripada semua pihak diperlukan bagi membolehkan bekas penagih dadah terus bersemangat dan beristiqamah untuk kekal pulih serta menjauhi dadah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS