Dr M sah hadiri perhimpunan Umno minggu depan
Sah! Tun Dr Mahathir Mohamad akan menghadiri perhimpunan agung Umno pada Rabu depan.
Sah! Tun Dr Mahathir Mohamad akan menghadiri perhimpunan agung Umno pada Rabu depan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata bekas Presiden Umno itu akan diberikan ruang di barisan depan bersama tetamu kehormat kerana mengenang jasanya sebagai bekas Presiden Umno dan juga Perdana Menteri.
Dua hari lalu, sewaktu taklimat perhimpunan ini kepada wakil media, Radzi berkata, Dr Mahathir belum mengesahkan kehadirannya.
Menurut laporan mSTAR Online , kehadiran bekas Perdana Menteri itu di persidangan tersebut menjadi topik hangat dan dinanti-nantikan banyak pihak sejak beberapa bulan lalu apabila beliau sebagai bekas Presiden, buat pertama kali dalam sejarah Umno, bertanding untuk menjadi perwakilan rasmi bahagian Kubang Pasu bagi membolehkan beliau berucap.
Bagaimanapun, beliau gagal terpilih. Setiap bahagian Umno menghantar 13 perwakilan - tujuh dipilih dalam mesyuarat perwakilan manakala enam lagi terdiri daripada pemimpin utama bahagian.
Dr M cabar dipecat
Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib memberi amaran agar tokoh ini "tidak mengganggu" majlis itu.
"Orang Umno ni, mereka mungkin nampak terhegeh-hegeh sahaja, tapi cubalah sesiapa nak buat kacau, bekas presiden ke tidak bekas presiden ke, mereka akan nyahkan daripada dewan," katanya dalam wawancara eksklusif dengan mStar Online.
Muhammad mengulas kemungkinan kehadiran Dr Mahathir boleh menimbulkan suasana tegang susulan siri-siri kritikan kerasnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sementara itu, akhbar berbahasa Cina Sin Chew melaporkan dalam edisi online petang ini bahawa Dr Mahathair juga mengesahkan akan menghadiri perhimpunan agung Umno minggu depan.
Laporan tersebut juga memetik Dr Mahathir - yang mengadakan lawatan singkat ke New Zealand - sebagai mencabar pengkritiknya supaya memecatnya dari parti ekoran kritikan kerasnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

