Pembunuhan Altantuya: Dua penyiasat persendirian direman
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membenarkan dua penyiasat persendirian ditahan reman untuk siasatan polis berhubung kes pembunuhan ngeri model sambilan wanita Mangolia, Altantuya Shaariibuu @ Aminah.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membenarkan dua penyiasat persendirian ditahan reman untuk siasatan polis berhubung kes pembunuhan ngeri model sambilan wanita Mangolia, Altantuya Shaariibuu @ Aminah.
Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid meluluskan permohonan polis bagi menahan reman dua lelaki itu sehingga Isnin ini untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengugut.
Penahanan kedua-dua lelaki berumur 46 dan 35 tahun itu menjadikan enam orang yang ditahan setakat ini, termasuk seorang penganalisis politik yang dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan Altantuya.
Menurut laporan Bernama, kedua-dua penyiasat persendirian itu, seorang daripadanya bekas anggota polis, ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 3.45 petang semalam.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan tindakan akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terbabit dalam pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
"Tiada siapa boleh mengatasi undang-undang," tegasnya sambil mengesahkan beliau telah dimaklumkan siasatan kes tersebut oleh Ketua Polis Negara.
"Saya arahkan kepadanya agar menyiasat kes dengan teliti dan sewajarnya. Tidak ada sesiapa yang lebih tinggi daripada undang-undang," katanya.
Berhubung pembabitan polis dalam pembunuhan ngeri dan menggemparkan ini, Abdullah berkata siasatan sedang berjalan dan maka tidak wajar beliau mengulas sekarang.
"Tindakan akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah. Ia akan ditentukan oleh mahkamah dan sistem perundangan," katanya kepada media selepas melancarkan kerusi Profesor Diraja Ungku Aziz di Universiti Malaya.
Semalam seorang penganalisa politik terkemuka ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan terhadap kes penculikan dan pembunuhan wanita Mongolia itu.
Menurut laporan Bernama, turut ditahan reman tiga lagi anggota polis, masing-masing berpangkat cif inspektor, lans korporal dan korporal.
Altantuya, 28, ditembak sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan peledak di Puncak Alam, Shah Alam.
Laporan media mengaitkan penganalisa politik itu dengan warga Mongolia itu dalam satu hubungan intim hingga melahirkan seorang anak yang kini berusia 16 bulan.

